ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua pemain badminton para negara di Sukan Paralimpik Paris 2024, bermula dengan langkah kanan selepas menumpaskan lawan masing-masing dalam aksi peringkat kumpulan, sebentar tadi.
Penyandang pingat emas perseorangan lelaki kategori SU5, Cheah Liek Hou yang diletakkan selaku pilihan utama, tiada masalah mengatasi Bartlomiej Mroz dari Poland, dengan kemenangan straight set 21-10, 21-6 untuk mengetuai Kumpulan A.
Turut mencatat kemenangan adalah seteru utama Liek Hou dalam kumpulan A, Suryo Nugroho dari Indonesia menewaskan wakil tuan rumah, Meril Loquette, 21-13, 21-13.
Sementara saingan kumpulan B SU5 lelaki, menyaksikan seorang lagi wakil negara, Muhammad Fareez Anuar mencipta kejutan ke atas pilihan kedua kejohanan dari Taiwan, Fang Jen Yu.
Pemain negara itu mencatat kemenangan 21-14, 21-18 ke atas Jen Yu, dan hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk melangkah ke separuh akhir.
Esok, Fareez akan berdepan tugas getir menentang Dheva Anrimusthi dari Indonesia dan kemenangan akan memastikan slot ke separuh akhir.
Jurulatih badminton para negara, Nova Armada berkata, kemenangan Liek Hou sudah dijangka, namun beliau bimbangkan Fareez yang tidak pernah menang ke atas pemain Taiwan sebelum ini.
“Mengikut perancangan, tiada masalah untuk Liek Hou kalahkan pemain Poland (Mroz) dan saya hanya bimbangkan Fareez.
“Dalam tiga pertemuan di Kejohanan Asia, Kejohanan Dunia dan di Scotland, semuanya kalah.
“Selepas kita pelajari permainan Jen Yu dan hari ini Fareez dapat mengeluarkan permainannya dan Alhamdulillah menang straight game,” kata Nova.
© New Straits Times Press (M) Bhd




