Liek Hou terharu dikurniakan pingat KMN

Liek Hou terharu dikurniakan pingat KMN

Kuala Lumpur: Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou meluahkan rasa syukur dan terharu selepas dikurniakan Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda di Istana Negara, semalam.

Liek Hou, 37, berkata pengiktirafan itu detik paling bermakna dalam perjalanan kariernya sebagai atlet paralimpik.

“Saya amat berbangga dan berterima kasih atas pengurniaan ini. Seperti kita sedia maklum, pengurniaan darjah kebesaran oleh Yang di-Pertuan Agong bukanlah sesuatu yang mudah dan saya amat menghargainya.

“Bagi saya, ini satu pencapaian luar biasa yang menandakan saya telah membawa nama negara ke tahap yang membanggakan di peringkat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau antara 14 individu yang menerima Bintang KMN dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi tahun 2025.

Mengulas perancangannya, pemenang pingat emas perseorangan lelaki kategori SU5 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024 itu berkata fokusnya kini untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan kaki yang dialami.

“Matlamat saya ialah untuk terus kekal konsisten dan kembali bersedia menghadapi kejohanan penting bermula tahun depan,” katanya.

Selain dua gelaran Paralimpik, Liek Hou juga juara dunia 14 kali, lapan kali dalam acara perseorangan dan enam kali dalam beregu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top