sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Macam kena ‘scam’ (tipu) je dengan mereka. Majlis Paralimpik Malaysia mana janjinya?”
Itu luahan daripada jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou yang kecewa apabila masih menanti ganjaran wang tunai berjumlah RM60,000 daripada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang dijanjikan untuknya sekiranya membawa pulang pingat emas buat negara pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris, tahun lalu.
Bagi pemenang pingat emas perseorangan lelaki kategori SU5 (kecacatan fizikal) di Paris 2024 itu, kelewatan menunaikan janji berkenaan seolah-olah mempermainkan pengorbanan atlet para negara.
“Sudah setahun Sukan Paralimpik di Paris berlalu, tetapi habuan yang dijanjikan belum dapat lagi,” luahnya di Instagram miliknya.
Menurut Liek Hou, dia melihat MPM seakan-akan memberi janji manis buat kontinjen negara dan sanggup berikan apa sahaja sekiranya berjaya menang emas, tetapi sebaliknya terjadi apabila selepas kejayaan diraih, nasib atlet para seakan dipandang ringan.
“Masa nak result, apa pun boleh dijanjikan. Tapi selepas dapat pingat, apa yang korang buat bagi kita atlet para? Majlis Paralimpik Malaysia mana janjinya?” soal Liek Hou dengan emoji marah.
Sementara itu, Liek Hou yang juga pemenang emas di Tokyo 2020 turut menyatakan tuntutan itu hanya membabitkan MPM sahaja.
“Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara, mereka sudah menunaikan janji sebulan selepas temasya itu. Kami hanya menuntut janji daripada MPM yang masih belum diselesaikan lagi,” katanya kepada Arena Metro.
Selain itu, jaguh powerlifting paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin yang meraih emas dalam kategori 72 kilogram (kg) turut ‘repost’ seakan-akan senada dengan Liek Hou yang masih menanti hak mereka selepas melakukan pengorbanan.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin sebelum ini menjelaskan habuan itu adalah insentif yang diberikan oleh tiga syarikat luar bagi meningkatkan motivasi atlet negara memburu emas pada Paris 2024.
Mengulas dakwaan itu, Megat yang dihubungi Arena Metro memaklumkan pihaknya akan menjelaskan isu berkenaan minggu hadapan.
“MPM akan panggil media (sidang media) minggu depan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




