Liga Europa: Forest mara aksi play-off

Liga Europa: Forest mara aksi play-off

Paris: Nottingham Forest akan mara ke pusingan play-off Liga Europa selepas membelasah Ferencvaros 4-0, awal pagi tadi, manakala Celtic mengesahkan tempat ke fasa kalah mati selepas menewaskan Utrecht 4-2.

Aston Villa pula menamatkan fasa liga di tempat kedua selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Red Bull Salzburg 3-2, dengan slot ke pusingan 16 terakhir sudah pun terjamin.

Forest memiliki peluang tipis untuk menembusi kelompok lapan terbaik menjelang perlawanan terakhir, namun mereka perlu menewaskan Ferencvaros kendalian Robbie Keane serta mengharapkan keputusan lain memihak kepada mereka.

Skuad kendalian Sean Dyche menunaikan tugas apabila Igor Jesus menjaringkan dua gol buat Forest selepas pemain pertahanan Ferencvaros, Bence Otvos, menghadiahkan gol sendiri.

James McAtee menambah jaringan menerusi sepakan penalti di lewat permainan, namun kemenangan itu hanya cukup untuk menyaksikan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menamatkan kempen di tangga ke-13 keseluruhan.

“Ia bukan mudah melalui pelbagai perlawanan dengan jadual padat, perancangan, perjalanan dan sebagainya. Bangkit daripada kekalahan mengecewakan di Braga (tewas 1-0 minggu lalu) dan kemudian mempamerkan aksi seperti ini, saya sangat berpuas hati,” kata Dyche kepada TNT Sports.

Sementara itu, Benjamin Nygren meletakkan Celtic di hadapan sebelum ketua pasukan Utrecht, Nick Viergever, menjaringkan gol sendiri.

Arne Engels menyempurnakan sepakan penalti ketika Celtic menguasai permainan, namun Utrecht merapatkan jurang kepada satu gol sebelum tandukan Auston Trusty memberikan kelegaan kepada tuan rumah.

Villa pula kelihatan bakal mencatat kekalahan kedua di pentas Eropah musim ini apabila Salzburg mendahului 2-0 di Birmingham menerusi jaringan Karim Konate dan Moussa Yeo.

Morgan Rogers merapatkan kedudukan sebelum Tyrone Mings menyamakan kedudukan, dengan pemain berusia 19 tahun, Jamaldeen Jimoh-Aloba, menjaringkan gol sulung di peringkat senior untuk melengkapkan kebangkitan anak buah Unai Emery.

“Ia detik yang membanggakan buat saya pada penampilan sulung di Eropah.

“Saya gembira dapat membanggakan keluarga hasil kerja keras. Musim ini penuh dengan jatuh bangun, tetapi ini benar-benar sesuatu yang istimewa,” kata Jimoh-Aloba kepada TNT Sports.

Villa, yang kini menghuni tangga ketiga EPL, bakal menikmati rehat sebelum aksi pusingan 16 terakhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top