Liga Juara-Juara: Liverpool mara, Spurs dan Newcastle tersingkir

Liga Juara-Juara: Liverpool mara, Spurs dan Newcastle tersingkir

LIVERPOOL mengesahkan tempat ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) selepas membenam Galatasaray 4-0 di Anfield dalam aksi timbal balik pusingan 16 pada awal pagi Khamis, sekali gus mencatat kemenangan agregat 4-1.

Aksi cemerlang menyaksikan Mohamed Salah mencipta sejarah tersendiri apabila menjaringkan gol ke-50 dalam saingan elit Eropah itu.

Kemenangan besar itu turut mengatur pertemuan suku akhir Liverpool menentang juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG).

Ketinggalan 0-1 selepas aksi pertama di Istanbul minggu lalu, skuad kendalian Arne Slot bangkit dengan persembahan meyakinkan di laman sendiri.

Dominik Szoboszlai membuka tirai jaringan sebelum Hugo Ekitike dan Ryan Gravenberch menambah derita pelawat.

Salah kemudian melengkapkan malam gemilangnya dengan jaringan ikonik kaki kiri, sekali gus menjadi pemain Afrika pertama meledak 50 gol atau lebih dalam UCL (tidak termasuk pusingan kelayakan).

Bagaimanapun, terdapat sedikit kebimbangan apabila Salah meminta untuk dikeluarkan pada minit ke-74 sebelum terus menuju ke bilik rawatan, menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brighton & Hove Albion hujung minggu ini.

Szoboszlai turut mencuri perhatian apabila merekodkan penglibatan gol kesembilan dalam kempen Eropah musim ini, hanya satu di belakang rekod kelab yang dipegang legenda Steven Gerrard.

Sementara itu, Tottenham Hotspur terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pentas Eropah meskipun mencatat kemenangan tipis ke atas Atletico Madrid di laman sendiri.

Pengendali sementara, Igor Tudor akhirnya meraih kemenangan pertama, namun kekalahan besar 2-5 dalam aksi pertama menjadi punca utama penyingkiran Spurs.

Di Sepanyol, Newcastle United memberikan tentangan sengit sebelum tewas besar kepada Barcelona di Nou Camp.

Skuad kendalian Eddie Howe dua kali bangkit menyamakan kedudukan menerusi Anthony Elanga, yang menjadi pemain kedua EPL menjaringkan dua gol dalam satu aksi UCL di stadium berkenaan selepas Dwight Yorke pada 1998.

Namun, jaringan penalti bintang muda Lamine Yamal sebelum rehat mengubah momentum perlawanan, sebelum Barcelona menggandakan asakan pada babak kedua.

Fermin Lopez menambah gol, diikuti dua jaringan Robert Lewandowski, manakala Raphinha melengkapkan kemenangan besar tuan rumah.

Kekalahan itu menyaksikan Newcastle menjadi pasukan kedua EPL dibolosi tujuh gol dalam satu perlawanan UCL, menyamai rekod hitam Spurs ketika tewas kepada Bayern Munich pada 2019.

Lebih membimbangkan, Newcastle berkemungkinan kehilangan tonggak tengah Sandro Tonali yang mengalami kecederaan di bahagian pangkal paha, menjelang aksi penting menentang Sunderland dalam derbi Tyne-Wear hujung minggu ini.

Ringkasan AI

  • LIVERPOOL mengesahkan tempat ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas menang 4-0 ke atas Galatasaray, agregat 4-1
  • Mohamed Salah menjadi pemain Afrika pertama menjaringkan 50 gol dalam UCL
  • Liverpool akan bertemu Paris Saint-Germain di suku akhir
  • Dominik Szoboszlai, Hugo Ekitike, dan Ryan Gravenberch turut menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut
  • Newcastle United tewas besar kepada Barcelona dengan skor 7-1 di Nou Camp, menyamai rekod hitam Spurs di UCL
Scroll to Top