firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Industri bola sepak profesional tidak boleh dipisahkan dengan asas perniagaan di mana keuntungan adalah objektif utama bagi setiap pelabur selepas membelanjakan hampir ribuan ringgit hingga jutaan ringgit.
Umpama penjual produk kecantikan seperti pencerah muka, bukan saja ia perlu menggunakan bahan selamat yang diluluskan pihak berkuasa agar tiadanya kesan sampingan malah pembungkusan produk hinggalah promosi turut perlu diberi perhatian agar mampu bersaing dengan jenama-jenama lain di pasaran.
Bagi memastikan kesemua formula itu berjaya, modal besar perlu disediakan sebelum produk berkenaan dapat dijual dengan sasaran utama untuk meraih keuntungan.
Begitu jugalah konsepnya dalam industri bola sepak moden ketika ini khususnya membabitkan saingan liga domestik di setiap negara di seluruh dunia di mana kelab-kelab bersaing untuk meraih keuntungan.
Mungkin dahulu bola sepak dimainkan untuk memberi hiburan kepada penonton atau sebagai alat mengembangkan bakat dan potensi seseorang, tetapi bola sepak profesional kini bersifat keuntungan.
Untuk bersaing mencabar kejuaraan atau kekal bertahan dalam saingan liga utama, modal besar diperlukan bagi memastikan pasukan berada pada tahap optimum termasuk pembelian pemain-pemain berkualiti, penyediaan jersi dan cenderamata yang menarik serta jualan tiket perlawanan berpatutan adalah formula yang akan digunakan.
Di Eropah, nilai ratusan jutaan ringgit berjaya diraih kelab-kelab ternama sama ada di Liga Perdana Inggeris (EPL) di England; La Liga di Sepanyol; Bundesliga di Jerman; Ligue 1 di Perancis dan beberapa liga lain termasuk di Asia seperti di Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi dianggap lubuk keuntungan.
Begitupun suasana itu tidak berlaku di Malaysia atau lebih tepat dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) yang dilihat cukup berbeda meskipun sudah diswastakan sepenuhnya empat tahun lalu.
Bukan saja tidak balik modal, malah pelaburan yang dilakukan setiap pemilik kelab di Liga M boleh diandaikan umpama menjerat diri dengan duit hangus begitu sahaja.
Arena Metro berjaya mendapatkan contoh perbelanjaan bagi sebuah pasukan Liga Super yang bersaing musim 2024-2025 ketika ini, agak mengejutkan apabila kos pembayaran gaji pemain sahaja mencecah RM950,800 atau hampir RM1 juta sebulan.
Jika ia didarabkan kepada 12 bulan termasuk latihan pramusim dari April 2024 hingga aksi terakhir pada April 2025, ini bermakna kelab yang berpengkalan di Lembah Klang itu perlu menyediakan RM12 juta untuk menampung gaji pemain dan pegawai termasuk awang import.
Kos terbabit hanya gaji pasukan tidak termasuk gaji kakitangan di peringkat pentadbiran, perbelanjaan perjalanan pasukan, kos penyelenggaraan fasiliti, perlindungan insuran pemain serta kos-kos tambahan lain, dengan anggaran keseluruhan buat pasukan utama boleh mencecah hingga RM15 juta semusim.
Itu baharu kos untuk skuad utama di Liga Super. Harus diketahui bahawa syarat pelesenan Liga M adalah setiap pasukan wajib menyediakan sekurang-kurangnya tiga pasukan pembangunan babitkan saingan di peringkat Piala MFL bawah 23 tahun (B-23), Piala Presiden B-20 dan Piala Belia B-18.
Secara tidak langsung, kos sebenar bagi sesebuah kelab beroperasi di Liga M memerlukan dana hampir RM20 juta semusim untuk menggerakkan keempat-empat pasukan bertanding dalam saingan domestik sekali gus mengelak daripada berdepan krisis tunggakan gaji daripada berlaku.
Tidak dinafikan ada pasukan yang mengambil langkah penjimatan dengan mengehadkan pengambilan pemain import bagi mengawal perbelanjaan biarpun kuota yang dibenarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) seramai sembilan pemain boleh didaftarkan.
Namun jika langkah itu diambil, tahap persaingan dalam liga pastinya tidak kompetitif dengan kelab kaya akan terus bermaharaja lela manakala pasukan kecil tidak mampu bersaing dan akhirnya akan menerima impak negatif, termasuk kehilangan penyokong yang enggan ke stadium selain larinya penaja ekoran prestasi longlai.
Wang daripada hak siaran langsung juga tidak selumayan diimpikan. Berdasarkan keseluruhan agihan pendapatan untuk hak penyiaran musim lalu, MFL mengagihkan RM15.675 juta mengikut merit kepada 14 pasukan Liga Super dengan nilai tertinggi RM2.4 juta buat juara, selain tambahan hadiah kemenangan berjumlah RM500,000.
Mungkin ada segelintir pihak dengan mendakwa hasil penjualan tiket mampu membantu kantung pasukan, namun hakikat sebenarnya ia hanyalah cerita rekaan untuk menyedapkan hati. Persoalannya benarkah harga tiket serendah RM20 masih relevan di era profesional ini?
Inilah antara dilema menghantui kebanyakkan pemilik kelab khususnya yang tidak mendapat bantuan daripada kerajaan negeri mahupun agensi kerajaan seperti mana kemelut tunggakan gaji melanda beberapa pasukan antaranya Kuala Lumpur City FC, Kedah Darul Aman FC, Perak FC dan lain-lain.
Satu pelan tindakan kecemasan perlu segera digerakkan oleh pihak berkepentingan bagi mengelak lebih banyak kelab terkubur serta mengelak imej negara dipandang buruk di mata luar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




