Liga Malaysia ketiga di dunia paling ramai 'kuda tua'

Liga Malaysia ketiga di dunia paling ramai 'kuda tua'

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Liga Super Malaysia kini memegang status sebagai antara liga paling ‘veteran’ di dunia selepas Transfermarkt menyenaraikannya di kedudukan ketiga dalam senarai 20 liga paling tua berdasarkan purata umur pemain.

Statistik yang dikeluarkan laman pangkalan data bola sepak popular itu meletakkan Liga Super Malaysia di belakang Liga Gozo di Malta yang mencatat purata umur 29.7 tahun dan Liga Guate di Guatemala (27.9 tahun).

Liga Super Malaysia pula turut mencatat purata umur 27.9 tahun iaitu satu angka yang menandakan dominasi pemain berusia masih kuat dalam liga utama negara ini.

Selain itu, Liga Super China menduduki tempat keempat dengan purata umur 27.7 tahun manakala Liga Thailand pula berada jauh di belakang, di kedudukan ke-16.

Malah, hanya satu liga utama Eropah disenaraikan dalam kelompok 20 liga paling ‘berusia’ itu iaitu Serie A Itali yang berada di tempat ke-11 dengan purata umur 27.4 tahun.

Menurut analisis Transfermarkt, purata umur tinggi ini berpunca daripada kecenderungan pasukan yang lebih percaya kepada pemain berpengalaman dalam mengisi kesebelasan utama.

Selain itu, kemajuan dalam bidang sains sukan turut membantu memanjangkan jangka hayat kerjaya pemain bola sepak moden, membolehkan mereka kekal kompetitif sehingga usia lewat 30-an.

Namun, faktor ekonomi liga juga memainkan peranan besar apabila banyak kelab lebih cenderung mendapatkan pemain berusia yang berkualiti tetapi mempunyai permintaan gaji lebih rendah berbanding pemain yang berada pada ‘usia kemuncak’.

Dalam sesetengah kes, liga tertentu turut menjadi destinasi ‘persaraan’ bagi pemain veteran yang ingin mendapatkan minit permainan akhir sebelum menggantung but.

Situasi itu tidak terkecuali berlaku di Liga Super apabila kebanyakan pasukan masih bergantung kepada tonggak senior meskipun ramai pemain muda yang berbakat menanti peluang.

Lebih membimbangkan, lambakan ‘kuda tua’ ini juga dikaitkan dengan kelemahan sistem pembangunan akar umbi apabila terlalu bergantung kepada pemain import dan kurang menonjolkan produk akademi sendiri.

Jika tidak ditangani dengan segera, dominasi pemain berusia ini dikhuatiri menjejaskan kualiti jangka panjang Liga Malaysia dan pembangunan skuad kebangsaan dalam tempoh akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top