syafiq.aznan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pengenalan Liga SupaRimau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menjadi ‘pengacau’ kepada program pembangunan selepas bola sepak negara sudah pun memiliki program elit menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).
Meskipun ada perbezaan menerusi cara program itu dilaksanakan, kedua-duanya menuju ke arah sama iaitu untuk memperkasa pembangunan akar umbi sekali gus membantu melahirkan bakat muda untuk skuad kebangsaan pada masa akan datang.
Justeru, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican melihat Liga SupaRimau FAM akan menjadi pelengkap kepada inisiatif sedia ada iaitu NFDP yang mana sudah pasti mampu mengetengahkan juga bakat bola sepak sedia ada.
“Dengan NFDP dan Liga SupaRimau FAM ini, kita ada sumber bakat yang lebih luas dan bersepadu. Difahamkan Liga SupaRimau ini mendapat sambutan menggalakkan dengan 265 akademi berdaftar, 1,029 jurulatih dan 9,111 pemain. Jadi ini satu pencapaian yang hebat.
“Kita tengok pula untuk NFDP, kita ada 14,214 pemain, 767 jurulatih, 131 pusat latihan daerah dan 62 akademi tunas. Bayangkan pemain yang kita ada dalam lingkungan usia muda ini. Lebih 14,000 daripada NFDP dan lebih 9,000 daripada Liga SupaRimau FAM. Untuk itu, kita sudah ada lebih 23,000 pemain berbakat.
“Penyertaan pemain berbakat yang lebih luas akan memberikan galakan kepada kewujudan ekosistem yang dapat menghasilkan bakat baharu dalam bola sepak,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan Liga SupaRimau FAM boleh menjadi ‘kolam baharu’ untuk badan induk itu mencari bakat yang sebelum ini mungkin terlepas pandang atau tidak disedari.
“Sebelum ini kita ada struktur elit iaitu NFDP dan sekarang kita ada struktur secara besar besaran yang pasti akan membantu mengenalpasti bakat yang sebelum ini tidak ditemui.
“Ada laluan untuk pemain dari Liga SupaRimau FAM pergi ke tahap lebih tinggi daripada segi bakat individu menerusi mekanisme pemantauan bakat. Mungkin kita boleh mencari pemain yang lebih baik di luar jika kita membuka peluang seperti ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd