'Liga Super 2025/2026 dijangka suram akibat kehilangan ratusan ribu penyokong'

'Liga Super 2025/2026 dijangka suram akibat kehilangan ratusan ribu penyokong'

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Saingan Liga Super musim 2025/26 dijangka kehilangan ratusan ribu penyokong setia susulan kejatuhan kelab tradisi yang pernah menjadi nadi bola sepak negara sejak sekian lama.

Pemerhati bola sepak dan bekas Penolong Pengurus Harimau Malaya, Datuk Kamarul Ariffin Shahar berkata, suasana suram itu dijangka berpanjangan jika tiada usaha drastik dilakukan bagi menyelamatkan wajah sebenar liga tempatan.

“Apa yang saya nak cakap, satu kesedihan untuk Liga Bolasepak Malaysia (MFL) apabila kelab besar dalam liga seperti Pahang, Kedah, Perak sudah tiada. Sebelum itu, kita sudah kehilangan Perlis, Sarawak dan Kelantan, malah pernah hilang Melaka,” katanya ketika tampil dalam program Podcast Apa-Apa Saja Harian Metro, semalam.

Podcast selama 40 minit itu membincangkan mengenai hala tuju skuad Harimau Malaya dan apa akan jadi pada Liga Malaysia musim 2025/2026.

Menurutnya, ketiadaan pasukan berpengaruh itu turut memberi kesan besar kepada kutipan tiket dan sokongan penyokong yang sebelum ini menjadi nadi utama dalam menghidupkan kemeriahan perlawanan.

Ini kerana, beliau yang juga bekas pengurus PDRM FC menjangkakan tiada lagi perlawanan ‘derby’ tumpuan membabitkan aksi di Pantai Timur dan Utara.

“Contohnya kalau Terengganu nak buat duit, kutipan tiket bila bertemu dengan Pahang atau Kelantan ni, buat duit dia.

“Orang kata, hampir penuh stadium. Itu kalau dululah,” jelasnya.

Selain itu, beliau yang pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga MFL berkata, pihak pengurusan Liga Super perlu lebih bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu kewangan dan pemasaran pasukan, bukannya membiarkan kelab bergelut sendirian.

“Saya merasakan sesuatu perlu dilakukan terhadap liga bola sepak Malaysia.

“Contohnya, untuk pasukan itu berjaya dari sudut kewangan, selain daripada pengurusan pasukan tu sendiri, pengurusan tertinggi liga bola sepak Malaysia pun kena memainkan peranan,” katanya.

Beliau berkata, peranan MFL sebagai rakan kongsi kepada pasukan sepatutnya bersifat aktif dan membantu, bukan sekadar mengharapkan kelab berusaha memeriahkan suasana liga secara bersendirian.

“Contohnya, bila rakan kongsi, mesti mengharapkan MFL melakukan sesuatu.

“Bukan MFL mengharapkan rakan kongsi melakukan sesuatu untuk memeriahkan bola sepak Malaysia?” katanya.

Kamarul turut menegur mengenai isu kekurangan penaja utama liga, berbanding negara jiran yang tampil lebih kemas dari segi penjenamaan dan pemasaran sukan.

“Saya rasa sampai sekarang pun siapa penaja utama MFL masih tidak diketahui. Sedangkan, di negara jiran ada Singapore AIA, Thailand BYD,” tegasnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top