Liga Super: KL City menang 1-0 ke atas DPMM

Liga Super: KL City menang 1-0 ke atas DPMM

KUALA LUMPUR: Ledakan Paulo Josue pada masa kecederaan menghadiahkan Kuala Lumpur(KL) City kemenangan 1-0 ke atas DPMM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Jaringan dramatik kapten pasukan itu bukan sahaja memastikan tiga mata berharga buat The City Boys, malah menamatkan permulaan suram mereka dalam kempen liga musim ini.

Kemenangan tersebut merupakan yang pertama buat skuad kendalian Datuk Dollah Salleh selepas tewas 0-3 kepada Negeri Sembilan FC pada aksi pembukaan sebelum dibelasah Kuching City 6-0 dalam perlawanan kedua.

Berbeza dengan aksi menentang Kuching City yang menyaksikan KL City beraksi dengan kekurangan pemain susulan sekatan pendaftaran oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), kali ini tuan rumah turun dengan skuad lengkap dan kompetitif.

Kehadiran beberapa muka baharu seperti Reagy Ofosu, Syafiq Ahmad, Gary Steven Robbat dan Baqiuddin Shamsudin dalam kesebelasan utama nyata memberikan dimensi berbeza kepada permainan City Boys.

Turun dengan misi untuk memburu kemenangan pertama musim ini, KL City tampil lebih agresif dan menguasai sebahagian besar permainan, namun berdepan kesukaran untuk menembusi benteng pertahanan pelawat.

Peluang terbaik babak pertama hadir menerusi Baqiuddin pada minit ke-44, namun rembatan pemain itu hanya sedikit tersasar.

Pasukan pelawat turut memberikan ancaman dan hampir mengejutkan tuan rumah menerusi tandukan Ebenezer Abban pada minit ke-49, namun percubaannya gagal menemui sasaran.

Liga Super: KL City menang 1-0 ke atas DPMM
Paulo Josue

Seminit kemudian, Josue pula hampir memecah kebuntuan, namun rembatan derasnya berjaya ditepis penjaga gol DPMM, Muhammad Haimie Abdullah Nyaring yang bertindak cemerlang menjaga gawang pasukannya.

Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri Josue tenang menyudahkan peluang yang terhidang untuk menewaskan Muhammad Haimie bagi memastikan KL City meraih tiga mata pertama.

Begitupun, tuan rumah terpaksa mengakhiri permainan dengan 10 pemain selepas Gary dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain lawan.-UTUSAN

Scroll to Top