Lima anggota wanita UKP penjara mahir seni 'Sentap'

Lima anggota wanita UKP penjara mahir seni 'Sentap'

am@hmetro.com.my

Kekuatan mental dan fizikal serta keberanian perlu ada pada setiap anggota wanita pasukan Unit Kawalan dan Pencegahan (UKP) Jabatan Penjara Malaysia.

Sepanjang masa, mereka perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan perkara tidak diingini berlaku di sebalik tirai besi membabitkan banduan wanita.

Untuk rekod, di Pahang, lima anggota UKP wanita bertugas di Penjara Bentong yang menempatkan banduan wanita.

Bagi Nurulhuda Md Razi, 27, bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman di dalam serta di luar penjara.

“Tidak semua kakitangan Penjara Bentong berpeluang menganggotai pasukan UKP, selain minat, beberapa faktor lain menjadi ukuran sebelum terpilih untuk berada dalam pasukan elit ini.

“Setiap anggota UKP diwajibkan mengikuti kursus khas pasukan tempur ringan (LSF). Ia beri pendedahan terhadap tindakan yang perlu dilakukan untuk menghadapi kejadian yang tidak diingini membabitkan banduan,” katanya.

Nurulhuda ditemui selepas mengadakan demonstrasi rusuhan banduan Penjara Bentong sempena Majlis Sambutan Hari Penjara Ke-235 2025 peringkat Penjara Pahang di

Penjara Bentong, baru-baru ini.

Nurulhuda yang berasal dari Kedah menambah, pengalaman berhadapan detik cemas membabitkan banduan wanita memberi pengajaran kepadanya supaya sentiasa bersedia.

Bagi Farahin Ab Hadi, 25, setiap anggota UKP perlu memiliki kemahiran seni tangkas penjara atau ‘Sentap’ bagi berdepan tindakan di luar jangkaan.

“Sentap adalah kombinasi seni mempertahankan diri membabitkan silat, Tae Kwan Do dan Muay Thai. Boleh dikatakan semua kakitangan penjara perlu memiliki kemahiran

Sentap,” katanya yang berasal dari Terengganu.

Bagi Nuraqilah Marauding, 25, dari semasa ke semasa, latihan diadakan bersama anggota lelaki yang bertugas di Penjara Bentong dan Penjara Penor.

“Demonstrasi rusuhan banduan yang diadakan menambah pengalaman saya.

“Setiap penjara mempunyai anggota UKP yang terlatih, kini ada 22 anggota pasukan LSF lelaki dan wanita di Jabatan Penjara Pahang,” katanya yang berasal dari Kelantan.

Sementara itu, Pengarah Penjara Pahang Datuk Abu Hasan Hussain berkata, pihaknya mempunyai anggota UKP yang memiliki kemahiran, semangat dan kecekapan dalam mengawal keadaan kecemasan.

“Semuanya diberi latihan sesuai dan mampu menangani keadaan kecemasan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top