am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kerajaan negeri mengarahkan operasi besar-besaran memburu dan menangkap lima ekor anjing liar yang menyerang kanak-kanak perempuan, Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi, 2, di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat, Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, anjing berkenaan perlu ditangkap dan diperiksa bagi memastikan ia bebas daripada penyakit rabies.
Katanya, tindakan itu penting bagi menjamin keselamatan penduduk setempat, selain mengurangkan kebimbangan terhadap keadaan kesihatan Nur Haira dalam jangka masa panjang.
“Pihak hospital kini turut bimbang sama ada anjing yang menyerang kanak-kanak terbabit membawa penyakit rabies atau sebaliknya.
“Jadi, tangkapan segera perlu dibuat supaya anjing liar di kawasan itu dapat disemak dan diperiksa.
“Jika disahkan bebas rabies, sedikit kelegaan dapat diberikan kepada doktor dan ibu bapa kerana kebimbangan ini boleh menjejaskan tahap pemulihan anak ini,” katanya.
Mohd Fared berkata demikian selepas menziarahi Nur Haira yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, hari ini.
Beliau berkata, operasi memburu haiwan berkenaan membabitkan Pejabat Daerah Batu Pahat dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DSV) dan polis.
Katanya, operasi akan dipergiatkan sekurang-kurangnya selama seminggu dengan kaedah tangkapan dipelbagaikan bagi memastikan anjing terbabit dapat dikesan dan ditangkap.
“Bukan hanya menggunakan kaedah semasa, tetapi mempelbagaikan segala kebijaksanaan, operasi pemantauan dan intipan, termasuk menggunakan sebarang kaedah yang dibenarkan undang-undang.
“Komitmen kita bagi memastikan masalah anjing liar di kawasan itu dapat diatasi dan kejadian sama tidak berulang kepada orang lain,” katanya.
Mohd Fared berkata, sebelum kejadian terbabit, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) bersama DVS sudah menjalankan operasi pada 12, 26 dan 30 Ogos lalu, dan berjaya menangkap 22 ekor anjing liar di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, jumlah anjing liar yang masih berkeliaran menunjukkan usaha memburu dan menangkap perlu dipertingkatkan secara berterusan.
Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, kerajaan negeri akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan pemulihan Nur Haira yang masih ditidurkan di HSA, dan ia dijangka mengambil masa panjang.
Beliau turut meminta pihak hospital memberi perhatian terhadap keadaan emosi keluarga mangsa, termasuk abangnya berusia 12 tahun yang trauma selepas menyaksikan kejadian itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

