MEMASUKI tahun baharu, pastinya peminat industri seni juga terus meraikan bakat-bakat sedia ada atau yang baharu mahu mencuba. Begitulah resmi hidup, jika ada yang lama pasti ada barunya.
Poklip kali ini menyenaraikan lima bintang yang pada firasat Poklip mampu lebih menyinar tahun hadapan!
ODAH & HADIE
Dua bakal bintang ini lahir daripada program Talk To My Manager. Kedua mereka bermula sebagai underdog namun menyoroti perjalanan usai program itu tamat, mereka mempunyai kelompok peminat yang cukup besar.
Keletah Odah yang santai, mudah mesra dan kelakar menjadikan ramai yang meramal dia mampu menjadi pengacara atau pelakon yang hebat jika strategi seninya disusun sebaik mungkin.
Hadie pula mempunyai suara dan gaya ‘budak baik’ yang jika dijaga dan berbekalkan semangat juang seperti Allahyarham ayahnya, Suhaimi Saad, dia juga boleh memecah tembok barisan penyanyi lelaki popular.
ALPHA
Kegilaan peminat terhadap kumpula kelahiran program Big Stage Alpha ini tidak dapat disangkal. Poklip sendiri bangga dengan pencapaian mereka terutama dengan lagu P Ramlee dan Saloma.
Selain berjaya menduduki carta lagu popular sejak pelancaran, lagu itu juga Poklip ramal boleh menang besar jika dipertandingkan di pentas-pentas kejuaraan lagu. Tetapi bergantung juga dengan vokal live mereka.
Poklip berharap mereka akan kekal berkumpulan. Jangan ada drama okay!
NADEERA
Lagu Bukan Lagi Kita benar-benar meletakkan penyanyi bersuara emas, Nadeera ini di kedudukan yang cukup membanggakan. Poklip sendiri antara peminat lagu yang boleh dikatakan cukup ‘berhantu’ itu.
Cuma seperti peminat-peminatnya, Poklip tertanya-tanya bila agaknya Nadeera akan melancarkan single solo baharu selepas ini? Lagu Peluk (duet bersama Hael Husaini)n menjadi, tetapi ramai mengharapkan lagu power vocal dari Nadeera.
Sementelah, penyanyi kecil molek itu juga mempunyai persona dan kelompok peminat yang boleh dikatakan antara yang semakin membesar hari demi hari. Good luck Nadeera!
BADRON MUNIRAH
Bermula sebagai pempengaruh, Poklip melihat Badron menyusun strategi seninya dengan cukup baik. Tidak ada kontroversi murahan, tidak terlalu mencuba dan tidak banyak buat hal/ Cuma, berhati-hati ya!
Bakat sudah ada, rupa juga boleh tahan tetapi jangan mudah dilambung ombak populariti. Pilihlah karya yang benar-benar meletakkan anda sebagai antara pelakon baharu yang disegani dan dipandang tinggi.
UMAIRAH
Mungkin ada yang masih melabel kejayaan Umairah hanya kerana dia anak saudara kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Namun Poklip tidak melihat itu sebagai sebab utama dia berjaya.
Jika melihat usaha dan bakat yang dimiliki, Poklip percaya Umairah juga boleh mencapai kejayaan membanggakan hasil semangat sendiri. Budaknya baik, penuh santun dan berbakat besar.
Apa yang penting adalah pemilihan lagu dan tidak terpalit kontroversi yang boleh membunuh karier sendiri. Jadikan penyanyi nombor satu itu sebagai garis panduan yang boleh diteladani. Semoga berjaya!




