am@hmetro.com.my
Kuala Berang: Akibat tidak dibayar gaji selama lima bulan, tiga buruh warga Bangladesh terpaksa menangkap ikan dan memungut hasil hutan sekitar Tasik Kenyir di sini, untuk kelangsungan hidup sebelum diselamatkan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, tiga lelaki itu diselamatkan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai pemerdagangan manusia bagi tujuan buruh paksa di sebuah tapak pembinaan.
Katanya, ketiga-tiga lelaki warga Bangladesh berusia 29, 42 dan 44 tahun itu diselamatkan dalam serbuan dilakukan jam 4.30 petang semalam.
“Dalam operasi sama, kira-kira jam 5.15 petang, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun dipercayai majikan kepada ketiga-tiga mangsa.
“Siasatan awal mendapati mangsa bekerja sebagai buruh binaan dengan waktu kerja tidak menentu dan tidak dibayar gaji selama lima bulan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek gagal menyediakan tempat tinggal yang kondusif, selain menyimpan pasport serta permit kerja mangsa.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Katanya, permohonan reman terhadap suspek dan permohonan Interim Protection Oder (IPO) terhadap mangsa sudah dilakukan di Mahkamah Kuala Berang, hari ini.
“Mangsa akan dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan selepas proses IPO selesai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




