Lima dicekup curi lori diparkir di bahu jalan

Lima dicekup curi lori diparkir di bahu jalan

harisfadli@hmetro.com.my

Subang Jaya: Lima lelaki disyaki terbabit kes curi sebuah lori, ditahan dalam serbuan di bahu Jalan U3/3, Bandar Pinggiran Subang di sini, lima jam selepas laporan polis dibuat, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Balai USJ 8 di sini, pada 12.30 tengah hari.

“Mangsa adalah seorang lelaki tempatan yang membuat laporan kehilangan sebuah lori Isuzu Delta tiga tan berwarna merah milik syarikat, yang diparkir di bahu jalan USJ 1/25, UEP Subang pada Sabtu.

“Mangsa yang bekerja sebagai pengarah syarikat pengubahsuaian rumah melaporkan lori milik syarikat terbabit hilang, disyaki dicuri kira-kira 7 pagi kelmarin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, beberapa jam selepas dilaporkan hilang, sepasukan polis berjaya mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex dan lori yang dilaporkan hilang terbabit, lalu membuat serbuan.

Katanya, hasil serbuan, pihak polis berjaya menahan lima suspek lelaki terbabit yang berusia dalam lingkungan 27 hingga 37 tahun bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut berjaya menemukan sejumlah peralatan yang dipercayai digunakan untuk memecah rumah, di dalam MPV berwarna hitam berkenaan.

Katanya, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Soal siasat awal membawa kepada penemuan sebuah Perodua Axia di pusat beli-belah IOI Puchong, Selangor, yang dipercayai digunakan bagi kegiatan pecah rumah.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta Perodua Axia berkenaan, polis menemukan dua unit pemampat penghawa dingin dan sebuah tong gas.

“Kesemua suspek direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top