Lima kali bedah jantung, Qaireen tetap kuat harungi hidup

Lima kali bedah jantung, Qaireen tetap kuat harungi hidup

lokman.khairi@hmetro.com.my

Shah Alam: Di sebalik wajah polos Qaireen Adriana Tihani, 15, pesakit jantung kronik sepanjang hayat ini juga mengharap dapat menjalani kehidupan normal seperti rakan seusianya.

Bapanya, Mohamed Haffiez Mansor Taridi, 42, berkata, anak sulungnya itu disahkan menghidap penyakit jantung sejak lahir dan tujuh bulan pertama hidupnya hanya berada dalam unit rawatan rapi neonatal (NICU).

Peniaga kek lapis itu berkata, Qaireen baharu sahaja menjalani pembedahan kelima untuk menggantikan injap jantung di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, April lalu.

Katanya, keadaan kesihatan Qaireen ketika ini masih memerlukan pemantauan rapi susulan beberapa komplikasi selepas pembedahan berkenaan termasuk jangkitan kuman pada luka pembedahan.

“Pada Mac lalu dia masuk hospital seminggu untuk prosedur memasukkan kamera bagi memeriksa keadaan injap utama jantungnya yang rosak.

“Bulan berikutnya pula dia menjalani pembedahan menukar injap utama itu menggunakan injap penderma atau homograf menerusi prosedur Ross.

“Bagaimanapun, selepas keluar hospital selama tiga hari, dia dimasukkan semula hampir 16 hari kerana berlaku jangkitan kuman dan masalah pada luka pembedahan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Bapa kepada empat anak itu berkata, Qaireen atau mesra dipanggil ‘kakak’ kini dinasihatkan rehat sepenuhnya di rumah sehingga hujung Jun ini bagi mengelakkan risiko jangkitan kerana tahap ketahanan badannya masih lemah.

Katanya, sesiapa yang datang menziarahi anaknya juga diminta memakai pelitup muka serta menggunakan pensanitasi tangan bagi mengelakkan sebarang jangkitan.

Mohamed Haffiez berkata, anaknya dikategorikan sebagai pesakit jantung kronik sepanjang hayat dan setiap injap penderma yang digunakan mempunyai jangka hayat tertentu sebelum perlu diganti semula.

“Disebabkan itu dia masih perlu menjalani rawatan susulan dan bulan depan sahaja ada empat lagi temujanji pakar.

“Kami memang bersedia dari segi mental memandangkan selepas ini akan ada lagi pembedahan susulan pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, dia mengakui kos rawatan bulanan kini menjadi cabaran terbesar keluarga terutama membabitkan ubat-ubatan, susu khas dan vitamin.

Katanya, Qaireen perlu mengambil tujuh jenis ubat setiap hari selain memerlukan penjagaan rapi di rumah.

“Alhamdulillah, kos pembedahan baru-baru ini banyak dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS) kerana kami asnaf berdaftar.

“Selain itu, saya juga jual kek lapis melalui siaran langsung di TikTok hampir setiap hari untuk tambah pendapatan keluarga,” katanya.

Menurutnya, isterinya yang bekerja sebagai pembantu jualan turut terpaksa mengambil cuti tanpa gaji lebih sebulan bagi menjaga anak mereka di hospital sejak Mac lalu.

Mohamed Haffiez sendiri turut diuji masalah kesihatan akibat penyakit Haglund’s Deformity iaitu benjolan tulang pada belakang tumit menyebabkan dia sukar berjalan dan baru menjalani pembedahan kaki, bulan lalu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka sekeluarga perlu berjimat termasuk melakukan sendiri proses mencuci luka pembedahan di rumah bagi mengurangkan kos rawatan.

Orang ramai yang ingin membantu dengan membeli kek lapis boleh menghubungi Mohamed Haffiez di talian 017-6687229 atau menyumbang melalui akaun Bank Islam 88300021065015 milik Mohamed Haffiez.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top