mhafis@mediprima.com.my
Kuala Lumpur: Indeks Pencemar Udara (IPU) setakat jam 3 petang ini menunjukkan lima kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, enam kawasan merekodkan kualiti udara pada tahap baik dan 57 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, lima kawasan mencatatkan IPU tidak sihat ialah Putrajaya (139); Banting, Selangor (154); Nilai, Negeri Sembilan (162); Alor Gajah, Melaka (110) dan Johan Setia, Selangor (154).
Menurutnya, kemerosotan kualiti udara masih dipengaruhi oleh pergerakan asap jerebu memasuki rantau negara ini sepanjang tempoh 24 jam yang lalu.
“Tiada kebakaran berskala besar dalam negara yang dikesan. Berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, terdapat 65 titik panas (hotspot) dikesan di Sumatera, 30 titik panas dikesan di Kalimantan dan empat titik panas dikesan masing-masing dua di Pahang dan Selangor.
“Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC hari ini menunjukkan pergerakan angin yang bertiup ke arah barat daya dan tiada lingkaran asap jerebu diperhatikan.
“Keadaan kering dilaporkan di bahagian selatan Semenanjung Malaysia, bahagian Sumatera, Jawa, Kepulauan Sunda Kecil dan bahagian selatan Kalimantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Abdul Latiff berkata, titik panas terpencil dikesan di Sumatera, manakala beberapa titik panas dikesan di Semenanjung Malaysia, Kalimantan, Vietnam dan Thailand.
“JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

