Lima pegawai kanan SPRM terima anugerah FCMI United Kingdom

Lima pegawai kanan SPRM terima anugerah FCMI United Kingdom

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Komitmen berterusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam melahirkan modal insan berkaliber bertaraf antarabangsa terbukti apabila lima pegawai kanannya meraih anugerah berprestij Fellowship Chartered Management Institute (FCMI), United Kingdom.

Pengiktirafan bertaraf dunia daripada Chartered Management Institute (CMI) itu dizahirkan menerusi jalinan kerjasama strategik suruhanjaya berkenaan bersama Asia e University (AeU) yang bertindak sebagai universiti pelopor bagi program itu di negara ini.

Mendahului senarai penerima sijil dan watikah pengiktirafan berkenaan ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin; dan Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Datuk Mohd Shahril Che Saad.

Turut menerima pengiktirafan sama, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Pesuruhjaya Kanan (KPKPj) Samsul Salip serta Mohd Fazli Husin daripada Bahagian Perisikan SPRM.

Majlis penyerahan sijil itu disempurnakan oleh Pegawai Integriti AeU, Profesor Madya Dr Azmi Mohd di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Pengiktirafan antarabangsa itu diraih susulan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, menyaksikan Azmi dan Saiful Ezral berjaya menamatkan pengajian bagi program Sarjana Pengurusan (Master in Management).

Sementara itu, Mohd Shahril dan Samsul menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), manakala Mohd Fazli kini sedang melengkapkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di universiti sama.

Mengulas mengenai penganugerahan itu, Azmi berkata, FCMI adalah penarafan kepimpinan tertinggi daripada CMI, sebuah badan profesional pengurusan terkemuka dunia yang ditubuhkan sejak 1947 di United Kingdom.

“Gelaran Fellow ini bukan saja pengiktirafan tertinggi dalam bidang pengurusan dan kepimpinan, malah diiktiraf di lebih 170 negara di seluruh dunia,” katanya.

Menerusi penganugerahan berkenaan, pegawai kanan SPRM terbabit diiktiraf sebagai pakar rujuk terkemuka dalam bidang pengurusan profesional serta berhak meletakkan gelaran rasmi ‘FCMI’ pada singkatan nama mereka.

Pentauliahan itu sekali gus menjadi penanda aras kompetensi unggul yang diakui secara meluas, sama ada dalam perkhidmatan awam mahupun sektor korporat di peringkat antarabangsa.

Semua pegawai terbabit bakal diraikan secara rasmi dalam Majlis Konvokesyen AeU Ke-15 yang dijadualkan berlangsung pada 24 Oktober ini di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top