Lima pekerja stor warga Indonesia dipenjara 15 bulan miliki LPG tanpa lesen

Lima pekerja stor warga Indonesia dipenjara 15 bulan miliki LPG tanpa lesen

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Lima pekerja stor warga Indonesia masing-masing dihukum penjara 15 bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas didapati bersalah memiliki 13,745.8 kilogram gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen, dua bulan lalu.

Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Muhammad Ali, 32, Marhaban, 31, Adnan, 28, Nasrullah, 34, dan Zulfan Fauzi, 31, mengaku bersalah bagi pertuduhan pindaan terhadap mereka.

Berdasarkan kertas pertuduhan pindaan, kelima-lima lelaki itu didakwa dengan niat bersama ada dalam milikan mereka barang kawalan iaitu LPG sebanyak 13,745.8 kilogram dalam keadaan menimbulkan syak melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu mengilang LPG tanpa lesen.

Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini, jam 7.05 malam, 28 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesemua tertuduh berdepan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebelum hukuman dijatuhkan, mereka yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana mendakwa hanya datang ke negara ini untuk bekerja dan ada yang baharu tiba.

Selain itu, mereka memberitahu mempunyai tanggungan keluarga.

Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), S Loganathan memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam bagi menjatuhkan hukuman berat.

“Akta Kawalan Bekalan 1961 dikuatkuasakan bagi menjamin barang kawalan supaya pengguna tidak menghadapi kekurangan barang kawalan.

“Walaupun kes ini tidak membabitkan unsur keganasan, tetapi ia memberi kesan kepada kehidupan orang awam. LPG adalah barang kawalan yang menerima subsidi kerajaan untuk meringankan kos hidup rakyat.

“Kesalahan ‘decanting’ adalah aktiviti tidak sah. Ia juga menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada kerajaan,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh semua tertuduh ditangkap iaitu 28 Julai lalu selain membenarkan permohonan supaya hasil jualan dan barang sitaan dilucutkan hak kepada Kerajaan Malaysia.

Pada 1 Ogos lalu, lima pekerja stor itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, dan mereka mengaku bersalah bagi pertuduhan asal memiliki 9,565.8 kilogram LPG tanpa lesen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top