Lima pelajar MRSM Besut direman tiga hari

Lima pelajar MRSM Besut direman tiga hari

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Lima pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Besut direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes buli seorang pelajar tingkatan dua sekolah berkenaan.

Mereka tiba di pekarangan Mahkamah Kuala Terengganu kira-kira jam 10 pagi hari ini.

Perintah reman terhadap kesemua pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Yuhanis Mohd Roslan.

Suspek terdiri daripada empat pelajar tingkatan tiga dan seorang tingkatan lima itu ditahan reman sehingga Ahad bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Terdahulu, media melaporkan polis menerima laporan berhubung kejadian buli membabitkan pelajar tingkatan dua jam 6.48 petang pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad@Abu dilaporkan berkata, siasatan mendapati mangsa yang berusia 14 tahun mendakwa diarahkan membuat kedudukan separa mencangkung sambil diletakkan selipar di atas kepala selama kira-kira 40 minit.

“Mangsa turut mendakwa ditumbuk di bahagian perut serta ditampar oleh beberapa pelajar tingkatan tiga ketika berada di asrama putera maktab berkenaan sekitar jam 11.30 malam pada Selasa lalu.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di perut, rusuk dan belakang badan,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu disedari oleh warden yang sedang bertugas sebelum membawa semua yang terbabit ke pejabat warden.

“Penjaga mangsa kemudian dihubungi dan mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Kesemua suspek ditahan pada Khamis untuk tindakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top