Lima suspek merusuh di perlawanan bola sepak direman dua hari

Lima suspek merusuh di perlawanan bola sepak direman dua hari

am@hmetro.com.my

Teluk Intan: Lima lelaki yang ditahan polis semalam kerana merusuh ketika perlawanan bola sepak di Padang Speedy, di sini, pada Khamis lalu ditahan reman selama dua hari sehingga esok.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Naidatul Athirah Azman ketika semua suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Permohonan reman itu bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Semua suspek yang juga pemain pada perlawanan bola sepak itu ditahan petang semalam susulan tangkapan tujuh suspek lelaki sebelumnya pada Khamis lalu.

Ia menjadikan keseluruhan seramai 12 suspek yang kesemuanya lelaki ditahan.

Tujuh suspek berusia 21 hingga 32 tahun yang ditahan sebelum ini bagaimanapun dibebaskan semalam dengan jaminan polis selepas tempoh reman tiga hari ke atas mereka tamat.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, kertas siasatan berhubung penahanan tujuh lelaki terbabit akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam waktu terdekat bagi mendapatkan arahan lanjut.

Jumaat lalu, Bakri mengesahkan penahanan tujuh lelaki yang terbabit merusuh ketika perlawanan bola sepak di Padang Speedy pada Khamis lalu.

Insiden merusuh berlaku pada separuh masa kedua perlawanan bola sepak Liga Integriti Hilir Perak 2025 antara pasukan Padang Tembak FC dan Jenderata FC.

Insiden kekasaran berlaku apabila seorang pemain Padang Tembak FC melakukan bentesan keras terhadap pemain Jenderata FC yang seterusnya mencetuskan pertelingkahan antara pemain kedua-dua pasukan.

Insiden itu turut tular di media sosial.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top