Lima wanita didenda RM1,000 gaduh depan pasar

Lima wanita didenda RM1,000 gaduh depan pasar

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Lima wanita didenda RM1,000 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan gaduh gempar di depan Pasar Melor, Khamis minggu lalu.

Tertuduh, Rozita Ramli, 47, bersama anaknya Aleeya Maisara Hasbullah, 19, dan menantunya Siti Nor Bakyah Abdullah, 19, manakala Siti Sara Suaini, 30, bersama adiknya Siti Mastura Suaini, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mereka bersama-sama didakwa melakukan gaduh gempar di hadapan Pasar Melor, di sini, iaitu suatu tempat awam, lebih kurang 2.30 petang, pada 25 Disember 2025.

Semua mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nadzir Abdullah, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Atikah Abd Halim.

Terdahulu, Muhammad Nadzir memohon hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada kesemua tertuduh.

Siti Atikah memohon hukuman yang minimum dikenakan terhadap kesemua tertuduh dengan mengambil kira video kes itu tular di media sosial yang sudah memberi pengajaran kepada mereka.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 masing-masing kepada setiap tertuduh dan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 12 individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rusuhan di Pasar Awam Melor di sini, pada Khamis lalu.

Kejadian jam 2.30 petang itu menyebabkan seorang remaja berusia 19 tahun mengalami kecederaan pada seluruh bahagian badan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top