am@hmetro.com.my
Kuantan: Limpahan air laut disebabkan fenomena air pasang besar ke Tasik Taman Gelora di sini, dipercayai punca pelbagai spesies ikan mati, sejak kelmarin.
Datuk Bandar Kuantan Datuk Zaliza Zulkipli berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu menyebabkan berlaku peningkatan tahap kemasinan air dan mengubah keseimbangan ekosistem semula jadi tasik itu.
Menurutnya, susulan kejadian itu Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menjalankan ujian kualiti air tasik terbabit dan Jabatan Perikanan Pahang sedang melakukan analisis forensik untuk mengenal pasti punca kematian itu secara saintifik.
“Fenomena air pasang itu mengubah ekosistem air tasik berkenaan adalah kejadian alam semula di luar jangka.
“Perubahan itu berlaku secara mendadak dan peningkatan tahap kemasinan air tasik itu dipercayai punca utama pelbagai spesies ikan hidup dan membiak secara semula jadi di tasik berkenaan mati,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zaliza berkata, tasik itu mempunyai pelbagai spesies ikan termasuk ikan susu, tilapia, kapas dan siakap merah.
Katanya, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sedang memantau keadaan dan pada masa mengutip bangkai ikan di tasik itu.
“Kerja pembersihan sedang dilakukan bagi memastikan kawasan rekreasi itu kekal bersih.
“MBK juga akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan memastikan keseimbangan ekosistem dan kebersihan Tasik Taman Gelora terpelihara untuk keselesaan serta keselamatan pengunjung,” katanya.
Semalam media, melaporkan pengunjung Taman Gelora, di sini, berdepan bau tidak menyenangkan kerana ribuan ikan di tasik itu mati sejak kelmarin.
© New Straits Times Press (M) Bhd