Linda, Beego harap prosiding pengesahan taklik diselesaikan segera

Linda, Beego harap prosiding pengesahan taklik diselesaikan segera

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon, Linda Hashim, 41, berharap prosiding pengesahan taklik yang difailkan terhadap suaminya, Beego dapat diselesaikan dan pelakon lelaki itu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.

Menurut pemilik nama sebenar Norhazlinda Hashim ini, prosiding (pengesahan taklik) itu adalah sambungan daripada sebutan kes sebelum ini apabila Beego gagal hadir ke mahkamah.

“Hari ini adalah sambungan kes sebutan taklik sebab sebelum ini defendan (Beego) tak datang. Jadi hari ini dia datang dan kita tak tahu apa lagi yang akan jadi.

“Pada saya, ada perkara yang sukar dalam video taklik dan hanya hakim sahaja yang boleh sahkan sama ada video itu pasti (lafaz) taklik yang dia sudah langgar.

“Kalau dikatakan (hakim) ayat (taklik) yang dilafazkan tidak sah, terpaksa diteruskan dengan Seksyen 47 iaitu tuntutan cerai kerana tiada persefahaman. Hari ini harapnya selesai,” katanya kepada Harian Metro.

Ujar Linda, dia pun tidak sabar tunggu pengesahan itu termasuk sudah memikirkan yang terbaik sebelum memutuskan untuk bercerai serta mengikut sahaja undang-undang Islam yang sudah ditetapkan.

“Kerana semuanya berbalik pada undang-undang dan kita tetap kena teruskan dan selesaikan,” katanya yang hadir pada jam 11.50 pagi ini.

Tidak berseorangan menghadapi keputusan taklik itu, Linda didapati hadir bersama rakan-rakannya yang menyokong dari awal kemelut rumah tangganya berlaku.

Sementara itu, Beego yang hadir kira-kira 10 minit selepas Linda, tidak mahu mengulas panjang dan hanya memohon semuanya berjalan dengan lancar.

Sejak Januari tahun lalu, rumah tangga Linda dan Beego atau nama sebenar Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, menjadi perhatian ramai apabila isterinya memfailkan perceraian dengan alasan tiada persefahaman.

Terdahulu, mereka pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 dan Linda juga membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan tiga anak.

Linda bagaimanapun mendakwa dia dan Beego bagaimanapun kemudiannya bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk, namun kembali bersama tidak lama selepas itu.

Beego dan Linda berkahwin pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 12, Anggun Cassandra, 11, dan Indah Camelia, 7 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top