norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon Linda Hashim, 41 didapati membuat perkongsian di InstaStory di Instagram (IG) dengan tangkap layar hantaran suaminya, Beego, 45, berkenaan peringatan agar tidak mengadili manusia lain.
Pada hantaran tangkap layar Beego yang dikongsikan Linda itu, pelakon sitkom Puteri berkenaan turut memaklumkan tiket seseorang ke syurga adalah disebabkan rahmat Allah SWT dan syafaat daripada Rasulullah SAW.
“Jangan pernah judge (mengadili) manusia lain..Ingat ya.. ticket ke syurga adalah disebabkan rahmat Allah SWT dan syafaat daripada Rasulullah SAW..bukan sebab ada digital tasbih calculator..Relax boss.. kita tak tahu amalan hamba yang lain,” tulis Beego.
Sementara itu, Linda pada pertanyaannya kepada Beego dalam InstaStory IG yang sama ingin mengetahui bagaimana pula situasi orang yang berzikir beribu setiap hari dengan memakai tasbih digital.
“Jadi orang yang berzikir beribu tiap hari pakai digital tasbih tu masuk neraka ke cane (macam mana)? Yang berselawat beribu tiap hari tu tak dapat syafaat ke cane ustaz Beego?,” tanya Linda.
Semalam, pasangan ini hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi mengikuti prosiding pengesahan lafaz taklik yang difailkan pelakon filem Tanda Putera itu terhadap suaminya, Beego.
Namun pengesahan lafaz taklik berkenaan ditangguh oleh mahkamah pada 9 Februari depan selepas Beego atau nama sebenar Mohamad Aszerul Nizam Abdullah dengan peguam mewakilinya memohon kepada Hakim Syarie, Mohd Farreq Azmi untuk membela diri.
Terdahulu sejak Januari tahun lalu, kemelut rumah tangga Linda atau nama sebenar, Norhazlinda Hashim dan Beego menjadi perhatian ramai apabila aktres itu bertindak memfailkan perceraian dengan alasan tiada persefahaman.
Beego dan Linda sebelum ini pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun mencapai kata sepakat untuk rujuk pada 9 April 2023 dan Linda juga membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak mereka.
Bagaimanapun Linda mendakwa, mereka kemudiannya bercerai lagi untuk kali kedua selepas beberapa bulan rujuk, namun kembali bersama tidak lama selepas itu.
Beego dan Linda berkahwin pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata perempuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




