Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) yang diluluskan di peringkat Dewan Rakyat baru-baru ini, dijangka memberi kesan besar terhadap landskap kewangan negara dan menjadikan perlindungan pengguna sebagai keutamaan dalam setiap transaksi kredit, kata Kementerian Kewangan (MOF).
Dalam kenyataan semalam, MOF berkata, RUUKP akan menjadi akta utama yang mengawal selia semua bentuk perniagaan kredit dan perkhidmatan berkaitan serta memastikan perlakuan adil oleh penyedia kredit.
“Akta itu juga mewajibkan ketelusan dalam pengenaan caj serta memperkenalkan garis panduan yang profesional dalam pengurusan kutipan hutang dan penyelesaian pertikaian.
“Melalui akta ini, pengguna yang berhadapan kesulitan kewangan juga berpeluang mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat melalui saluran yang sah,” katanya.
MOF juga menyifatkan RUUKP sebagai inisiatif penting kerajaan ke arah mewujudkan ekosistem kredit pengguna yang lebih selamat, profesional dan inklusif.
“Ia bukan sekadar rang undang-undang, tetapi refleksi komitmen jangka panjang negara dalam memastikan rakyat tidak terus terdedah kepada amalan kredit yang menindas,” katanya.
Menerusi RUUKP itu juga, kata MOF, sebuah Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan ditubuhkan untuk mengawal selia penyedia perkhidmatan yang sebelum ini beroperasi tanpa pemantauan langsung seperti syarikat pajakan, pemfaktoran, agensi kutipan hutang dan penyedia pembiayaan digital bukan bank.
SKP akan turut memudahkan pemindahan fungsi pengawalseliaan daripada pelbagai kementerian dan agensi di bawah satu bumbung.
© New Straits Times Press (M) Bhd