aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching mempamerkan semangat juang tinggi apabila mengharungi pertarungan selama 75 minit sebelum mengesahkan tiket ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Australia di Sydney, hari ini.
Pemain ranking ke-34 dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan wakil India, Aakarshi Kashyap yang menghuni ranking ke-69 dunia 21-19, 19-21, 22-20 di Quaycentre.
Dalam aksi sengit itu, Ling Ching terlebih dahulu menguasai set pembukaan sebelum Aakarshi bangkit menyamakan kedudukan menerusi kemenangan pada set kedua.
Set penentuan pula berlangsung penuh debaran apabila kedua-dua pemain terikat 20-20, namun pemain kelahiran Sarawak itu lebih tenang mengutip dua mata penting untuk menoktahkan kemenangan.
Kejayaan itu membolehkan Ling Ching mengelak daripada tersingkir seawal pusingan pertama buat kali keempat berturut-turut musim ini.
Bagaimanapun, cabaran lebih sukar menantinya di pusingan kedua apabila dijadual berdepan pilihan kelapan kejohanan dari Taiwan, Huang Yu Hsun.
Turut mara ke pusingan kedua adalah satu lagi beregu campuran negara Jimmy Wong-Cheng Su Yin yang menewaskan pasangan Australia, Andika Ramadiansyah-Nozomi Shimizu 21-15, 21-16.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa perseorangan lelaki negara, Eogene Ewe yang gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada pilihan kelapan kejohanan dari Hong Kong, Lee Cheuk Yiu.
Eogene yang berada di ranking ke-77 dunia memulakan aksi dengan cukup baik apabila memenangi set pertama, namun Cheuk Yiu yang menghuni ranking ke-23 dunia bangkit menguasai dua set berikutnya untuk menang 18-21, 21-10, 21-15 dalam tempoh 64 minit.
Terdahulu, pemain muda negara itu berjaya melangkah ke undian utama selepas melepasi dua pusingan kelayakan semalam.
Kekalahan itu menyaksikan Eogene tersingkir pada pusingan awal buat kali keempat berturut-turut musim ini, sekali gus meneruskan pencarian rentak terbaiknya dalam saingan Jelajah Dunia BWF.
© New Straits Times Press (M) Bhd




