Rafah: Pintu sempadan Rafah di Gaza, satu-satunya laluan menghubungkan wilayah Palestin dengan Mesir, dibuka semula pada Isnin untuk pergerakan terhad orang yang melaluinya hanya dengan berjalan kaki.
Pintu sempadan itu dikuasai Israel pada Mei 2024 semasa bulan awal perang menentang pejuang Hamas.
Pembukaan semula itu memberikan kelegaan kepada rakyat Palestin yang ingin meninggalkan Gaza untuk rawatan perubatan, atau kembali ke wilayah itu selepas melarikan diri akibat perang.
Rafah terletak di sempadan selatan Gaza dengan Mesir dan adalah satu-satunya laluan masuk dan keluar bagi hampir lebih dua juta rakyat Palestin.
Bandar Rafah yang dahulunya menempatkan kira-kira 250,000 orang kini dimusnahkan sepenuhnya oleh rejim Israel.
Kawasan sempadan antara Rafah dan Mesir dikenali sebagai Koridor Philadelphi, sepanjang 14.5 kilometer (km), yang sebelum perang didakwa dipenuhi terowong untuk menyeludup senjata dan barangan komersial.
Pintu sempadan dikawal di sisi Gaza oleh pegawai keselamatan Israel dengan pemantauan oleh pegawai Kesatuan Eropah (EU) dan Pihak Berkuasa Palestin.
Difahamkan, pintu sempadan itu hanya dibuka untuk rakyat Palestin yang melaluinya dengan berjalan kaki, selepas mendapat kelulusan keselamatan Israel dan Mesir.
Dalam pada itu, dua sumber Palestin berkata, 50 orang dibenarkan masuk Gaza setiap hari dan bilangan sama dibenarkan keluar.
Lebih 100,000 rakyat Palestin melarikan diri pada bulan awal perang dan ramai ingin kembali bersatu dengan keluarga walaupun rumah mereka musnah.
Terdapat juga anggaran 20,000 pesakit Palestin yang memerlukan rawatan perubatan segera.
Israel dijangka membenarkan lebih ramai orang keluar berbanding yang masuk, manakala wartawan asing masih dilarang memasuki Gaza.
Selain Rafah, Gaza mempunyai pintu sempadan utama dengan Israel, Kerem Shalom di selatan, dan pintu utara Erez ditutup sejak permulaan perang pada 7 Oktober 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd




