Idaho: Pemegang Rekod Dunia Guinness (GWR) bersiri dari Amerika Syarikat (AS) menambah satu lagi rekod dalam koleksi lebih 200 gelaran miliknya selepas berjaya melipat 415 pesawat kertas dalam tempoh sejam.
Memetik laporan United Press International (UPI), David Rush yang memegang gelaran GWR terbanyak secara serentak, melakukan cabaran itu di gelanggang raketbol YMCA di Boise, Idaho, bagi merebut rekod melipat pesawat kertas terbanyak dalam tempoh sejam.
Rush berkata, peraturan organisasi penyimpan rekod itu menghendakinya mematuhi proses tujuh langkah lipatan yang ketat bagi menghasilkan setiap pesawat kertas.
“Saya mempunyai pasukan pembantu untuk menguruskan bekalan kertas, meluncurkan pesawat yang siap kepada saksi yang dilantik untuk pengesahan dan melemparnya bagi memastikan ia merentasi jarak penerbangan wajib,” katanya menerusi hantaran dalam talian.
Dalam tempoh 60 minit, Rush berjaya melipat 415 pesawat kertas yang layak dengan purata 8.67 saat bagi setiap pesawat.
Cabaran yang dilakukan pada 30 Mei lalu itu sekali gus membolehkan Rush merebut gelaran berkenaan.
Pencapaian itu menambah satu lagi gelaran dalam koleksi Rush yang kini mempunyai lebih 200 GWR secara serentak.
Katanya, beliau kini menyasarkan untuk memecahkan rekod masa terpantas bagi melipat dan membaling pesawat kertas yang kini dipegang dengan catatan masa 4.54 saat.
© New Straits Times Press (M) Bhd

