LIRP 2026: Yumiko sasar takhta ILCA 6

LIRP 2026: Yumiko sasar takhta ILCA 6

am@hmetro.com.my

Langkawi: Pelayar Jepun, Yumiko Tombe bertekad muncul juara kategori ILCA 6 pada Regata Perdana Antarabangsa Langkawi (LIRP) 2026 bagi mencerahkan peluangnya dipilih mewakili Jepun ke Sukan Asia 2026.

LIRP 2026 berlangsung di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Kelibang, di sini, mulai esok hingga Khamis ini.

Laluan Yumiko, 35, untuk memburu kejuaraan di LIRP dilihat lebih terbuka selepas bintang ILCA 6 juga pelayar Olimpik negara, Nur Shazrin Abdul Latif, dilaporkan tidak dapat beraksi kerana mengalami kecederaan ketika latihan.

“Saya datang ke Langkawi dengan tekad mahu menang, sekali gus membantu melayakkan diri ke Sukan Asia 2026 yang akan diadakan di negara saya sendiri mulai 19 September hingga 4 Oktober depan di Nagoya.

“Beraksi dalam ILCA 6 di negara kelahiran adalah impian saya sejak lama selepas beberapa kali mencipta kejayaan di luar negara,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini, hari ini.

Katanya, tahun lalu pencapaiannya lebih tertumpu kepada kejohanan domestik di Jepun selain menyertai beberapa regata antarabangsa termasuk Princess Sofia di Sepanyol pada Mac.

“Pengalaman beraksi di pentas dunia termasuk menyertai World Sailing Championships 2023 turut mematangkan kemahirannya apabila berpeluang bersaing dengan pelayar elit dari pelbagai negara,” katanya.

Mengulas mengenai pencabar utama, Yumiko berkata sebelum ini dia menjangkakan saingan sengit daripada Nur Shazrin, namun keadaan berubah selepas pelayar Olimpik negara itu tidak menyertai kejohanan kali ini.

“Sepatutnya ada seorang pelayar Malaysia yang menjadi pencabar utama, iaitu Nur Shazrin, tetapi dia dilaporkan cedera. Sekarang saya akan berdepan pelayar wanita dari Korea, Jung Hyewon. Itu menarik bagi saya,” katanya.

Selepas saingan di Langkawi, Yumiko dijadual menyertai regata antarabangsa Princess Sofia di Sepanyol bulan depan yang juga menjadi pentas pemilihan ke skuad kebangsaan Jepun ke Sukan Asia.

LIRP edisi ke-22 kali ini menyaksikan seramai 298 pelayar dari 10 negara bersaing dalam sembilan kategori iaitu Optimist, Laser Standard (ILCA 7), Laser Radial (ILCA 6), Laser 4.7 (ILCA 4), International 470, International 420, Windsurfing, 29er dan Wing Foil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top