Litar pintas disahkan sebagai punca kebakaran ragut lima sekeluarga di Dong

Litar pintas disahkan sebagai punca kebakaran ragut lima sekeluarga di Dong

KUANTAN: Kebakaran rumah yang meragut nyawa lima sekeluarga di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, Raub pada 26 Februari lalu dikenal pasti berpunca daripada litar pintas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, hasil siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati kebakaran rumah setingkat itu berlaku akibat masalah pendawaian elektrik di premis tersebut.

Menurutnya, rekod jabatan itu turut menunjukkan faktor elektrik merupakan antara penyumbang utama kes kebakaran bangunan di negeri ini.

“Daripada 35 kes kebakaran bangunan yang dilaporkan setakat tahun ini, sebanyak 15 kes berpunca daripada faktor elektrik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran sempena Aidilfitri di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, sepasang suami isteri bersama tiga anak perempuan mereka maut selepas rumah sewa yang didiami musnah dalam kebakaran.

Sementara itu, Mohammad Fakhruddin berkata, atas titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kerajaan negeri akan membina sebuah unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) untuk dua beradik yang terselamat dalam tragedi menyayat hati tersebut.

Beliau berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut bersetuju dan kerajaan negeri akan berbincang dengan keluarga mangsa bagi menentukan lokasi sesuai untuk disiapkan rumah tersebut pada tahun ini juga.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri akan meneliti cadangan melengkapkan semua projek perumahan mampu milik di negeri ini dengan sekurang-kurangnya satu alat pemadam api bagi menghadapi sebarang kecemasan kebakaran. – UTUSAN

Scroll to Top