Washington: Bintang LIV Golf, Bryson DeChambeau mula memikirkan masa depannya termasuk memberi fokus lebih besar kepada platform YouTube sekiranya saingan LIV Golf tidak diteruskan selepas musim ini.
Pemain berusia 32 tahun itu turut mengakui terbuka untuk kembali beraksi dalam Jelajah PGA susulan ketidaktentuan mengenai hala tuju LIV Golf ketika ini.
Minggu lalu, Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF) dilaporkan tidak lagi akan membiayai hadiah wang bernilai AS$30 juta (RM141 juta) bagi setiap kejohanan LIV Golf.
DeChambeau berkata, dia sudah berbincang dengan pihak Jelajah PGA selain merancang memperluaskan lagi pengaruh saluran YouTube miliknya.
“Daripada perspektif saya, saya mahu mengembangkan saluran YouTube saya tiga kali ganda atau mungkin lebih besar lagi.
“Saya mahu lakukan alih suara dalam pelbagai bahasa dan memberi lebih banyak sebab untuk peminat seluruh dunia menonton YouTube.
“Pada masa sama, saya juga mahu beraksi dalam kejohanan yang mahukan saya,” katanya menjelang kejohanan LIV Golf di Trump National Golf Club, Washington DC.
DeChambeau menyertai LIV Golf pada Jun 2022 dan pernah menjadi antara 11 pemain yang memfailkan saman terhadap Jelajah PGA pada tahun sama susulan tindakan penggantungan terhadap pemain yang menyertai LIV Golf.
Bagaimanapun, dia menarik diri daripada saman itu pada Mei 2023.
Menurutnya, kedua-dua pihak perlu mencari jalan penyelesaian demi memastikan golf profesional lelaki kembali berkembang secara positif.
“Ego perlu diketepikan. Semua pihak perlu hadir dengan pemikiran terbuka dan fokus kepada usaha mengembangkan sukan golf.
“Itulah sebab saya datang ke sini dan lakukan apa yang saya buat di YouTube,” katanya.
Kontrak DeChambeau bersama LIV Golf akan tamat selepas musim ini, namun ketika ditanya sama ada PIF akan melunaskan baki kontraknya, dia hanya menjawab: “Teka-teki awak sama seperti saya.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




