London: Liverpool FC dijangka melengkapkan perpindahan pemain sayap Victor Munoz dari CA Osasuna selepas mengaktifkan klausa pelepasan bernilai £34.5 juta (RM187 juta).
Pemain berusia 22 tahun itu merupakan sebahagian daripada skuad Sepanyol di Piala Dunia 2026 dan menjalani pemeriksaan perubatan semalam dengan Liverpool menghantar kakitangan mereka ke Amerika Syarikat untuk urusan tersebut.
Munoz yang membuat penampilan sulung antarabangsa pada Mac lalu, boleh beraksi di kedua-dua bahagian sayap dan dijangka menandatangani kontrak selama enam tahun di Anfield. Liverpool akan membayar yuran perpindahan itu dalam dua ansuran.
Newcastle United FC sebelum ini berada dalam rundingan lanjut untuk mendapatkan pemain itu selepas mereka menjual Anthony Gordon kepada FC Barcelona, namun Liverpool akhirnya memenangi persaingan mendapatkan Munoz.
Musim lalu, Munoz menjaringkan tujuh gol dan mencipta lima bantuan jaringan dalam 36 penampilan.
Beliau bakal menjadi pemain pertama ditandatangani Liverpool sejak Andoni Iraola menggantikan Arne Slot sebagai ketua jurulatih awal bulan ini.
Ketika dikaitkan dengan Newcastle, pakar La Liga Phil Minshull menggambarkan Munoz sebagai “antara permata bola sepak Sepanyol”, dengan etika kerja yang sangat baik ketika menyerang dan juga bertahan.
Munoz merupakan produk akademi terkenal La Masia Academy milik Barcelona sebelum menyertai Real Madrid. Di sana, beliau hanya sempat membuat dua penampilan sebagai pemain gantian sebelum berpindah ke Osasuna pada Julai 2025 dengan nilai 5 juta euro.
Real Madrid masih mengekalkan klausa jualan semula sebanyak 50% serta hak untuk menyamai tawaran bagi mendapatkan semula Munoz.
Kelab itu pernah mempertimbangkan untuk membawa beliau pulang, namun kebimbangan mengenai peluang bermain secara konsisten di bawah kendalian Jose Mourinho menyebabkan perpindahan itu tidak menjadi kenyataan.
Barcelona juga dilaporkan berminat sebelum mereka melengkapkan perpindahan Anthony Gordon dalam urus niaga bernilai lebih £69 juta (RM375 juta).
© New Straits Times Press (M) Bhd




