Liverpool bangkit 'ajar' Newcastle

Liverpool bangkit 'ajar' Newcastle

Liverpool: Penyerang Liverpool, Hugo Ekitike meledak dua gol dalam tempoh dua minit untuk mencetus kebangkitan pasukan kendalian Arne Slot ketika menewaskan Newcastle United 4-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus menamatkan kemarau kemenangan liga lebih sebulan.

Gol tambahan oleh Florian Wirtz dan Ibrahima Konate pada babak kedua membantu Liverpool melonjak ke tangga kelima liga dengan 39 mata, 14 mata di belakang pendahulu, Arsenal, manakala Newcastle jatuh ke kedudukan ke-10 dengan 33 mata.

Newcastle bermula dengan cemerlang dan Anthony Gordon menjaringkan gol liga pertamanya daripada permainan terbuka selepas lebih setahun pada minit ke-36, sekali gus menghidupkan harapan pelawat untuk meraih kemenangan pertama di Anfield sejak 1994.

Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Ekitike mengubah rentak perlawanan dengan dua jaringan pantas pada minit ke-41 dan 43.

Gol pertama Ekitike hadir selepas Florian Wirtz melakukan gerakan ke dalam kotak penalti sebelum menghantar bola kepada penyerang Perancis itu yang kemudian menyudahkannya.

Dua minit kemudian, Ekitike sekali lagi mencetak nama selaku penjaring apabila menyambar hantaran lintang Milos Kerkez untuk menewaskan penjaga gol Newcastle, sekali gus meletakkan Liverpool di hadapan.

Wirtz menambah gol ketiga pada minit ke-67 hasil gerakan satu-dua bersama Mohamed Salah sebelum melepaskan rembatan kencang menerjah gawang gol.

Konate melengkapkan kemenangan besar Liverpool dengan jaringan pada masa kecederaan. Pemain pertahanan itu, yang kematian bapanya bulan ini, tidak dapat menahan sebak dan dipeluk rakan sepasukan selepas menjaringkan gol.

“Saya tahu pasukan kehilangan beberapa pemain akibat kecederaan dan pengurus meminta saya mengambil masa serta tidak tergesa-gesa untuk kembali. Tetapi penting untuk saya kembali membantu pasukan,” kata Konate.

Liverpool sebelum ini gagal meraih kemenangan dalam lima perlawanan liga, namun kejayaan dalam kempen Liga Juara-Juara sejak dua minggu lalu, termasuk kemenangan besar 6-0 ke atas Qarabag, memberi suntikan keyakinan.

“15 minit sebelum tamat separuh masa pertama, kami melihat gabungan hebat pemain dan sokongan padu penyokong.

“Ketika rehat, kami tiba-tiba mendahului 2-1 dan pada babak kedua kami memiliki banyak peluang. Kemenangan 4-1 ini sangat bermakna,” kata Slot.

Pengurus Newcastle, Eddie Howe mengakui kecewa dengan keputusan itu.

“Saya rasa kami beraksi dengan baik. Keputusan 4-1 agak kejam buat kami. Kami menjaringkan gol cantik dan memulakan perlawanan dengan sangat baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top