MANCHESTER, United Kingdom: Liverpool mengekalkan peluang untuk bermain dalam Liga Juara-Juara musim depan dengan kemenangan 4-2 mengatasi Manchester United di Old Trafford sebentar tadi.
Skuad kendalian Jurgen Klopp masih perlu menang baki tiga perlawanan mereka bagi menjamin tempat di kedudukan empat teratas Liga Perdana namun melepasi halangan terbesar dengan kemenangan pertama di United sejak 2014.
Roberto Firmino meledak dua gol pada setiap babak selepas Diogo Jota menyamakan kedudukan berikutan jaringan awal Bruno Fernandes buat tuan rumah.
Gol Marcus Rashford merapatkan kedudukan namun Mohamed Salah memastikan kemenangan penting pada minit terakhir ketika Liverpool mara ke kedudukan kelima liga.
“Kami masih boleh melakukannya, masih dalam pemburuan. Itulah yang kami boleh lakukan malam ini,” kata Klopp.
“Ia penting. Tanpa kemenangan ini kami tidak boleh bercakap mengenainya.”
Pertembungan antara dua kelab paling berjaya di England itu ditangguhkan 11 hari lalu ketika penyokong United menceroboh padang dan bergaduh dengan polis kerana bentahan terhadap pemilik kelab.
Tempat United dalam saingan utama kelab Eropah sudah terjamin walaupun mereka masih belum memastikan tempat kedua di belakang Manchester City.
Ole Gunnar Solskjaer membuat 10 perubahan terhadap skuad yang kalah 2-1 kepada Leicester Selasa lalu yang memastikan kemenangan buat City.
Pengendali dari Norway itu mengekalkan majoriti pemain dalam kesebelasan utama buat perlawanan keempat United dalam tujuh hari namun terasa kehilangan Harry Maguire yang diketepikan kerana kecederaan pergelangan kaki.
“Sudah tentu kami merasai kehilangannya, tapi dia tidak boleh bermain dan kami perlu melaluinya,” kata Solskjaer.
“Mereka berhak menang. Kami melepaskan gol pada saat yang penting. Kami mencipta kejatuhan kami sendiri.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




