Liverpool beri kata dua kepada Guehi, Palace

Liverpool beri kata dua kepada Guehi, Palace

London: Liverpool bersedia mengemukakan tawaran terakhir bernilai £40 juta (RM230.1 juta) kepada Crystal Palace untuk mendapatkan pertahanan tengah, Marc Guehi, tawaran yang bersifat ‘ambil atau tinggalkan’.

Tawaran itu dilihat berpeluang besar untuk berjaya memandangkan Guehi, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-25, hari ini, sememangnya berminat untuk berhijrah ke Anfield.

Guehi menjadi tumpuan utama ketika Palace melancarkan jersi baharu mereka semalam, namun Liverpool selaku juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), mahu melihat pemain itu menyarung jersi merah mereka pula.

Kapten Palace yang pernah menjulang Piala FA itu kini memasuki tahun terakhir dalam kontraknya, dan bersedia menyertai The Reds meskipun turut menarik minat Arsenal, Chelsea dan Newcastle.

Difahamkan, pemain itu rela menyerahkan urusan perpindahan kepada kedua-dua kelab tanpa memberi tekanan atau tuntutan.

Sumber dalaman mendedahkan Guehi adalah antara pemain paling merendah diri, dan bola sepak sentiasa menjadi keutamaan berbanding wang ringgit.

Dia masih terikat dengan kontrak lima tahun yang ditandatangani ketika menyertai Palace dari Chelsea pada 2021, dan sudah menolak lanjutan kontrak sambil menunggu peluang terbaik, dengan Liverpool menjadi destinasi pilihannya.

Palace tidak berminat dengan pertukaran pemain walaupun The Reds mempunyai bakat muda seperti Ben Doak, 19, kerana kelab itu memerlukan wang tunai untuk mendapatkan pengganti.

Pengurus Palace, Oliver Glasner, mahukan dua pemain pertahanan baharu, satu cabaran besar buat kelab London itu.

Pemain Sporting Lisbon, Ousmane Diomande, 21, menjadi pilihan utama Glasner, namun pemain antarabangsa Ivory Coast itu turut dianggarkan bernilai sekitar £40 juta.

Situasi itu menjadikan pilihan kedua perlu diperoleh secara pinjaman, dengan sasaran tertumpu kepada bintang Portugal, Tiago Djalo, 25, dari Juventus.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top