Liverpool kembali bernafas, Isak cetak gol sulung

Liverpool kembali bernafas, Isak cetak gol sulung

London: Alexander Isak membuka akaun gol Liga Perdana Inggeris bersama Liverpool ketika juara bertahan itu menamatkan rentetan aksi hambar dengan kemenangan penting 2-0 ke atas West Ham United, sebentar tadi.

Liverpool, yang buat pertama kali di era Arne Slot menurunkan kesebelasan tanpa Mohamed Salah, memiliki deretan peluang lebih baik pada babak pertama tetapi percubaan Isak dan Florian Wirtz dinafikan kecemerlangan penjaga gol West Ham, Alphonse Areola.

Bagaimanapun, penyerang Sweden itu akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-60 apabila bijak menyambar hantaran Cody Gakpo untuk meletakkan Liverpool di depan.

Gakpo kemudian menutup kemenangan Liverpool dengan gol kedua pada masa kecederaan (92′), hanya beberapa minit selepas Lucas Paqueta dibuang padang kerana mengutip dua kad kuning akibat bantahan.

Kemenangan ini, hanya yang kedua buat Liverpool dalam lapan aksi liga, melonjakkan mereka ke tangga kelapan dengan 21 mata daripada 13 perlawanan, manakala West Ham kekal bergelut di kedudukan ke-17 dengan 11 mata, berkongsi mata bersama Leeds United di zon penyingkiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top