Manchester: Pep Guardiola akan mengendalikan perlawanan ke-1,000 sebagai pengurus apabila pasukan bimbingannya, Manchester City, berdepan Liverpool pada awal pagi Isnin ini, dan beliau mengakui ia adalah pertembungan paling menarik untuk menandakan detik bersejarah itu.
“Liverpool adalah pesaing terbesar di negara ini dan sejujurnya saya rasa tiada yang lebih baik daripada itu.
“Saya rasa kami mendorong Liverpool untuk menjadi lebih baik, dan Liverpool juga mendorong kami untuk jadi lebih baik. Itu pasti.
“Jika saya perlu memilih satu pasukan lawan untuk perlawanan bersejarah ini, Liverpool adalah pilihan terbaik,” kata Guardiola kepada wartawan.
City kendalian Guardiola pernah terbabit dalam dua perebutan kejuaraan sengit menentang Liverpool yang diketuai Jurgen Klopp pada musim 2018-19 dan 2021-22 di mana kedua-duanya dimenangi City dengan kelebihan hanya satu mata.
“Liverpool, terutamanya ketika bersama Jurgen, adalah lawan paling sukar. Saya sentiasa merasakan betapa besar rasa hormat kami antara satu sama lain,” katanya.
Bekas pemain tengah Sepanyol itu dianggap antara jurulatih terbaik sepanjang zaman, dengan koleksi 12 kejuaraan liga domestik bersama Barcelona, Bayern Munich dan City, selain tiga trofi Liga Juara-Juara serta pelbagai kejuaraan lain.
Guardiola turut meluahkan rasa bangga apabila diumumkan sebagai ahli baharu Dewan Kemasyhuran 1,000 Kelab anjuran Persatuan Pengurus Liga (LMA), bersama 38 pengurus lain yang pernah membimbing di England termasuk Alex Ferguson dan Arsene Wenger.
“Perjalanan dan pengalaman ini benar-benar luar biasa,” kata Guardiola, yang memulakan karier kejurulatihan bersama Barcelona B dalam liga divisyen keempat Sepanyol pada 2007.
“Angkanya sangat gila. Sukar untuk sampai ke tahap ini, dan jika saya bermula semula, saya mungkin tidak akan mencapainya lagi. Ia menuntut banyak kerja keras, dedikasi, semangat dan kasih sayang terhadap permainan ini dan dalam hal itu, tiada siapa dapat menandingi saya.
“Saya cintakan bola sepak, dan saya suka mengkaji rahsia bagaimana kami boleh menewaskan lawan. Mudah-mudahan Isnin ini kami dapat meneruskannya,” katanya lagi.
Setakat ini, Guardiola sudah menang 715 daripada 999 perlawanan, dan apabila ditanya mengenai tanggapan bahawa beliau adalah pengurus terbaik sepanjang zaman, beliau berseloroh: “Mereka memang betul!
“Setiap pengurus meninggalkan pengaruhnya dalam sejarah. Saya boleh katakan saya sebahagian daripadanya kerana angka-angka menunjukkan kejayaan, dan seronok melihat cara pasukan saya bermain.
“Tetapi saya tidak pernah bermula dengan niat untuk menjadi yang terbaik.”
Walaupun kadar kemenangan Guardiola melebihi 70 peratus, Liverpool kekal sebagai lawan yang sukar ditundukkan sejak beliau tiba di City pada 2016, sama ada di bawah Klopp atau kini Arne Slot.
Daripada 24 pertemuan menentang Liverpool, beliau hanya menang tujuh kali dan tewas 10 kali, termasuk kekalahan di tempat sendiri dan tempat lawan musim lalu apabila skuad Slot menyingkirkan City selaku juara liga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




