London: Liverpool kekal sebagai calon utama untuk merebut gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi Arsenal kini mempunyai harapan baru menjelang hujung minggu ini selepas Everton berjaya mengikat pendahulu liga itu pada pertengahan minggu.
Tottenham menerima kunjungan Manchester United dalam pertembungan dua gergasi yang gagal menunjukkan prestasi terbaik, sementara bagi empat kelab di bahagian bawah liga, ia adalah peluang terakhir mereka untuk berjuang keluar dari zon bahaya.
Pemain tengah Arsenal, Declan Rice, berjanji minggu ini bahawa “perkara besar akan berlaku” sebelum Liverpool kehilangan dua mata di Goodison Park.
Walaupun gagal menghasilkan kemenangan namun hasil gol penyamaan dari James Tarkowski pada masa kecederaan, pasukan Arne Slot tidak perlu panik selepas mereka masih mendahului Arsenal dengan tujuh mata.
Liverpool yakin dapat menewaskan Wolves yang sedang bergelut awal Ahad ini, tetapi dua minggu akan datang mungkin menjadi tempoh penentu bagi kelab itu yang berusaha untuk menyamai pencapaian Manchester United merangkul 20 kejuaraan liga utama Inggeris.
The Reds akan berkunjung ke Aston Villa untuk berdepan pasukan kendalian Unai Emery awal pagi Khamis depan sebelum bertandang ke Manchester City dan perlawanan di laman sendiri menentang Newcastle.
Menurut super Opta, data yang digunakan oleh penganalisis bola sepak, tidak banyak yang dapat menggugat Slot, kerana pasukannya yang dibarisi oleh Mohamed Salah yang luar biasa masih mempunyai peluang hampir 90 peratus untuk memenangi gelaran.
Sementara itu Pengurus Tottenham, Ange Postecoglou, berkata dia tidak takut dipecat, tetapi pengurus Australia itu tidak mampu menanggung kekalahan yang memalukan lagi apabila bertemu Manchester United pada awal pagi Isnin ini.
Postecoglou kini masih menjawat jawatannya selepas berdepan musim buruk Tottenham yang mencapai tahap terendah apabila tersingkir dari Piala Liga dan Piala FA dalam tempoh empat hari minggu lalu.
Tottenham mensia-siakan kelebihan 1-0 pada perlawanan pertama separuh akhir Piala Liga apabila Liverpool menewaskan mereka 0-4. Mereka kemudian tewas 1-2 di Aston Villa pada pusingan keempat Piala FA.
Bersandar di tempat ke-14 dalam EPL, pasukan Postecoglou yang dilanda kecederaan kini memerlukan kemenangan ke atas United, hanya dua mata di atas mereka yang akan berkunjung ke Stadium Tottenham Hotspur.
Kekalahan kepada United yang turut berada dalam musim yang terburuk akan lebih memburukkan lagi kemarahan penyokong dan mungkin menjadi titik akhir bagi Postecoglou.
“Saya hanya akan terus bekerja seperti biasa. Anda perlu teruskan. Ia tidak mengubah keputusan yang saya buat,” katanya.
Manakala Mikel Arteta berharap kem latihan di kawasan beriklim panas akan membantu pemainnya mengatasi keletihan dan memberi rangsangan untuk penamat yang lebih baik musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd


