Liverpool: Kelemahan West Ham United mempertahankan situasi bola mati dihukum Liverpool apabila kelab Merseyside itu mencatat kemenangan bergaya 5-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, awal pagi tadi.
Kemenangan itu membolehkan Liverpool naik ke tangga kelima liga dengan mengumpul 48 mata, sekali gus berkongsi mata dengan Manchester United di tempat keempat yang akan beraksi malam ini. West Ham pula kekal di tangga ke-18 dengan 25 mata, dua mata di belakang zon selamat.
Liverpool bermula garang apabila penyerang Hugo Ekitike membuka jaringan seawal minit kelima hasil situasi sepakan penjuru yang gagal dikawal kemas benteng pelawat.
Kelemahan sama terus menghantui West Ham apabila kapten Liverpool Virgil van Dijk menggandakan jaringan sebelum Alexis Mac Allister menjadikan kedudukan 3-0, dengan ketiga-tiga gol hadir menerusi situasi bola mati.
West Ham cuba bangkit pada babak kedua apabila Tomas Soucek merapatkan kedudukan sejurus permainan bersambung bagi menghidupkan peluang pasukan pelawat.
Namun Liverpool kembali melebarkan jurang menerusi Cody Gakpo pada minit ke-70 sebelum Valentin Castellanos sekali lagi merapatkan kedudukan lima minit kemudian.
Liverpool akhirnya mengesahkan kemenangan apabila gerakan pemain gantian Jeremie Frimpong memaksa pertahanan West Ham Axel Disasi menjaringkan gol sendiri pada minit ke-82.
Keputusan itu menyaksikan Liverpool memanfaatkan sepenuhnya kelebihan bermain di laman sendiri meskipun West Ham yang bergelut di zon penyingkiran memberikan tentangan sengit sepanjang perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




