Liverpool: Liverpool sedang menunggu keputusan imbasan perubatan yang mereka bimbang akan mengesahkan Alexander Isak patah kaki ketika menentang Tottenham, menurut laporan hari ini.
Penyerang Sweden itu mengalami kecederaan ketika menjaringkan gol pembukaan dalam kemenangan 2-1 di London, kelmarin selepas dikasari pertahanan Spurs, Micky van der Ven.
Isak, 26, yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua, tidak mampu meraikan gol bersama rakan sepasukan dan meninggalkan padang dalam keadaan kesakitan yang ketara.
Sejurus selepas perlawanan, pengurus Liverpool, Arne Slot, mengakui kecederaan itu “bukan petanda yang baik”.
“Jika seorang pemain langsung tidak cuba untuk kembali bermain, itu biasanya bukan perkara yang baik, tetapi saya tidak boleh berkata lebih daripada itu,” katanya.
“Itu hanyalah perasaan naluri dan bukan penilaian perubatan, jangan terlalu negatif dahulu. Kita masih belum tahu. Harapnya dia dapat kembali bersama kami tidak lama lagi.”
The Athletic dan Sky Sports hari ini melaporkan Liverpool bimbang Isak mengalami patah kaki, yang akan menyebabkannya terpaksa berehat panjang.
Isak mengharungi permulaan hambar dalam kariernya di Anfield apabila hanya membuat 16 penampilan dan menjaringkan tiga gol sejak perpindahan rekod British bernilai £125 juta (RM684 juta) dari Newcastle pada hari terakhir jendela perpindahan.
Pertikaian dengan Newcastle menyebabkan dia tidak menjalani program pramusim yang sempurna dan tiba di Anfield dalam keadaan kecergasan jauh ketinggalan berbanding rakan sepasukan. Musimnya kemudian terganggu lagi akibat kecederaan pangkal paha.
Sebarang ketiadaan Isak akan menjadi tamparan hebat buat Slot, terutamanya dengan Mohamed Salah kini beraksi di Piala Negara-Negara Afrika dan Cody Gakpo belum bersedia untuk kembali daripada kecederaan otot sehingga awal tahun baharu.
Keadaan ini menyaksikan pengurus Liverpool hanya mempunyai Hugo Ekitike yang menjaringkan lima gol dalam empat perlawanan terakhir erta Federico Chiesa yang jarang digunakan sebagai satu-satunya penyerang senior.
Liverpool, yang kempen mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris mereka hampir musnah susulan siri keputusan mengecewakan, kini naik ke tangga kelima liga selepas melanjutkan rekod tanpa kalah kepada lima perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




