Liverpool sambar Ekitike RM430 juta

Liverpool sambar Ekitike RM430 juta

London: London: Liverpool melengkapkan perpindahan penyerang, Hugo Ekitike dari Eintracht Frankfurt semalam dengan nilai dilaporkan mencecah £69 juta (RM430 juta), sekali gus meneruskan ‘perbelanjaan besar’ mereka dalam jendela perpindahan musim panas ini.

“Penyerang berusia 23 tahun itu berjaya menyelesaikan terma perubatan dan bersetuju dengan syarat peribadi bersama The Reds, membolehkannya berlepas ke Hong Kong bagi menyertai rakan sepasukan baharunya dalam siri jelajah pramusim di Asia minggu ini,” kata Liverpool dalam kenyataan rasmi.

Perpindahan pemain antarabangsa Bawah-21 Perancis itu ke Anfield dijangka melonjakkan jumlah keseluruhan perbelanjaan Liverpool musim ini melebihi £250 juta (RM1.56 bilion).

Liverpool menukar tumpuan kepada Ekitike selepas Newcastle enggan melepaskan penyerang Sweden, Alexander Isak, yang dinilai sekitar £150 juta (RM937 juta) oleh kelab berkenaan.

Newcastle dan Manchester United turut berminat mendapatkan Ekitike, namun Liverpool berjaya memenangi perlumbaan mendapatkan salah seorang bintang muda paling menyerlah di Eropah ketika ini.

Difahamkan, The Reds turut bersetuju membayar tambahan sehingga £10 juta (RM62 juta) dalam bentuk klausa prestasi, menjadikan keseluruhan nilai perpindahan Ekitike mampu mencecah £79 juta (RM494 juta).

Musim lalu, Ekitike menjaringkan 22 gol dalam 48 perlawanan semua kejohanan bersama Frankfurt selepas menyertai kelab Bundesliga itu dari Paris Saint-Germain (PSG).

Aksinya turut melayakkan dia disenaraikan dalam ‘Kesebelasan Terbaik Bundesliga’ musim lalu apabila Frankfurt menamatkan saingan di tangga ketiga liga utama Jerman itu.

Liverpool kini memiliki kekosongan di bahagian serangan selepas kematian mengejut Diogo Jota dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol baru-baru ini.

The Reds juga dilaporkan bersedia melepaskan penyerang Uruguay, Darwin Nunez, manakala penyerang Colombia, Luis Diaz menjadi sasaran Bayern Munich namun bidaan awal kelab Jerman itu ditolak.

Setakat ini, Liverpool sudah berbelanja sebanyak £116 juta (RM724 juta) bagi mendapatkan pemain tengah Jerman, Florian Wirtz, selain membawa masuk dua pertahanan, Jeremie Frimpong dan Milos Kerkez dari Bayer Leverkusen dan Bournemouth.

Penjaga gol Georgia, Giorgi Mamardashvili turut menyertai pasukan kendalian Arne Slot itu sejak tamat musim lalu selepas bersetuju berpindah dari Valencia tahun ini.

Ekitike memulakan karier bersama kelab kampung halamannya, Reims, sebelum dipinjamkan ke Denmark pada 2021 dan kemudian menyertai PSG setahun kemudian.

Namun, dia gagal menyerlah dalam musim pertamanya di Paris susulan persaingan bersama nama besar seperti Lionel Messi, Kylian Mbappe dan Neymar, meskipun berjaya meraih pingat kejuaraan Ligue 1.

Peluangnya kembali terhad pada awal musim 2023-24, sebelum berhijrah secara pinjaman ke Frankfurt.

“Hugo menunjukkan peningkatan luar biasa dalam tempoh 18 bulan bersama kami dan menjadi aset penting buat pasukan serta kelab, di dalam dan luar padang,” kata Pengarah Sukan Eintracht, Markus Krosche.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top