London: Liverpool memenangi perlumbaan mendapatkan pertahanan Rennes, Jeremy Jacquet pada hari terakhir jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang agak suram, manakala Crystal Palace menyambar penyerang Wolves, Jorgen Strand Larsen walaupun perpindahan Jean-Philippe Mateta ke AC Milan gagal dimuktamadkan.
The Reds dilaporkan bersetuju dengan yuran sehingga £60 juta (RM323 juta) untuk pemain pertahanan muda berpotensi tinggi itu sebelum jendela ditutup.
Namun pemain berusia 20 tahun itu tidak akan menyertai juara EPL sehingga musim panas walaupun Liverpool memerlukan tambahan kekuatan di posisi pertahanan.
Jacquet sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea awal bulan ini, tetapi dilaporkan menolak kerana persaingan sengit di posisi pertahanan tengah dalam skuad The Blues yang sarat pemain.
Liverpool pula kekurangan pilihan pertahanan tengah susulan kecederaan Joe Gomez dan Giovanni Leoni.
Pemain bawah 21 tahun Perancis itu hanya membuat 31 penampilan bersama Rennes, tetapi Liverpool dilaporkan akan membayar £55 juta (RM296 juta) sebagai bayaran awal dengan tambahan £5 juta (RM26.9 juta) bergantung kepada bonus.
Pada hari yang menyaksikan hanya beberapa perpindahan penting, Palace melengkapkan pembelian rekod kelab bernilai £48 juta (RM258 juta) buat penyerang Norway, Strand Larsen menerusi kontrak empat setengah tahun.
Palace bertindak mendapatkan Strand Larsen selepas percaya Mateta akan meninggalkan kelab itu.
Penyerang Perancis itu tidak disenaraikan dalam skuad Palace ketika seri aksi EPL menentang Nottingham Forest kelmarin sebagai persediaan untuk berpindah ke AC Milan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




