Liverpool sedia labur RM682.95 juta demi Isak

Liverpool sedia labur RM682.95 juta demi Isak

London: Liverpool mempertimbangkan tawaran besar bernilai £120 juta (RM682.95 juta) untuk mendapatkan penyerang Newcastle, Alexander Isak walaupun kelab itu mahu mengekalkan bintang Sweden itu, menurut laporan hari ini.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu masih belum membuat tawaran rasmi untuk Isak, namun pemain itu dikatakan berada dalam senarai utama sasaran mereka ketika pengurus, Arne Slot mencari penyerang baharu susulan kematian Diogo Jota.

Isak menyertai Newcastle dari Real Sociedad dengan nilai £63 juta (RM358.55 juta) pada 2022 dan telah muncul sebagai pemain utama dalam pasukan kendalian Eddie Howe.

Dia menjaringkan 23 gol EPL musim lalu, sekali gus membantu kelab itu layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

Isak turut menjaringkan gol dalam kemenangan Newcastle ke atas Liverpool di final Piala Liga di Wembley, sekali gus menamatkan penantian 70 tahun kelab itu untuk trofi domestik utama.

Pemain berusia 25 tahun itu kini berada di kem latihan pramusim di Austria dan masih mempunyai baki tiga tahun dalam kontraknya.

Newcastle difahamkan sedang berusaha untuk menawarkan kontrak baharu kepadanya.

Mereka dilaporkan menetapkan nilai sekitar £150 juta (RM853.69 juta) untuk Isak sebagai usaha menghalang minat kelab lain, dengan Arsenal dikatakan sedang mempertimbangkan tawaran.

Pemilik majoriti Newcastle, Dana Pelaburan Awam Arab Saudi, mempunyai kekuatan kewangan untuk menolak sebarang pendekatan terhadap pemain yang dikatakan tidak mendesak untuk berpindah.

Darwin Nunez dan Federico Chiesa turut dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Anfield, yang akan meningkatkan keperluan kelab itu untuk mendapatkan penyerang baharu.

Selain minat terhadap Isak, Liverpool turut dikaitkan dengan penyerang Eintracht Frankfurt, Hugo Ekitike yang dianggarkan bernilai £70 juta (RM398.39 juta) dan turut menarik minat Newcastle.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top