Liverpool sedia pecah rekod pembelian demi dapatkan Isak

Liverpool sedia pecah rekod pembelian demi dapatkan Isak
Liverpool mendapat dana tambahan untuk membawa Isak (kanan) ke Anfield selepas mencapai persetujuan untuk menjual Diaz ke Bayern Munich. Foto: Agensi

Liverpool mendapat dana tambahan untuk membawa Isak (kanan) ke Anfield selepas mencapai persetujuan untuk menjual Diaz ke Bayern Munich. Foto: Agensi

LIVERPOOL terus menunjukkan kesungguhan mereka dalam memperkukuh skuad bagi menghadapi musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila dilaporkan bakal memecahkan rekod perpindahan kelab untuk mendapatkan penyerang sensasi Newcastle United, Alexander Isak.

Langkah tersebut hadir selepas kelab Merseyside itu mencapai persetujuan untuk menjual Luis Diaz kepada Bayern Munich dalam satu perpindahan bernilai 75 juta euro (sekitar RM386 juta) termasuk bayaran tambahan, sekali gus membuka ruang kewangan yang luas untuk merealisasikan sasaran baharu mereka.

Sebelum ini, Liverpool telah menolak tawaran awal daripada kelab Jerman itu yang bernilai £58.6 juta (sekitar RM352 juta), namun Bayern kembali dengan jumlah lebih tinggi yang akhirnya diterima pihak pengurusan The Reds.

Penjualan pemain sayap Colombia itu dianggap sebagai kunci utama dalam menyediakan dana untuk memulakan rundingan bagi mendapatkan Isak.

Isak dilihat sebagai penyerang moden lengkap memiliki kepantasan, teknik tinggi dan keupayaan menjaringkan gol secara konsisten.

Pengurus The Reds, Arne Slot percaya profil itu sangat sesuai dengan corak permainan mereka.

Menariknya, Isak dilaporkan menolak minat daripada beberapa kelab Timur Tengah kerana hanya mahu beraksi bersama Liverpool.

Pendirian tegas ini dijangka memudahkan proses rundingan, namun segalanya masih bergantung kepada keputusan akhir Newcastle sama ada bersedia melepaskan pemain utama mereka atau terus mengekalkannya untuk projek jangka panjang.

Menurut pakar perpindahan, Fabrizio Romano, Liverpool kini dalam fasa akhir menyediakan tawaran rasmi bernilai besar untuk dihantar kepada Newcastle.

Sekiranya perpindahan ini dimuktamadkan, Isak bakal menjadi pembelian termahal dalam sejarah kelab dan dijangka mengukuhkan semula status Liverpool sebagai pencabar utama di pentas domestik dan Eropah.

Bagi Diaz pula, perpindahannya ke Bayern menandakan berakhirnya perjalanan dua musim yang penuh warna-warni bersama Liverpool setelah menyertai dari FC Porto pada Januari 2022.

Pemain berusia 27 tahun itu telah menjaringkan beberapa gol penting, namun tidak lagi berada dalam perancangan taktikal Slot untuk musim akan datang.

Scroll to Top