London: Rekod sempurna Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) berakhir di tangan Crystal Palace apabila pemain gantian, Eddie Nketiah, meledak gol kemenangan pada minit akhir sekali gus menghadiahkan kemenangan 2-1 buat skuad The Eagles ke atas juara bertahan.
Ismaila Sarr membuka jaringan pada minit kesembilan – gol ketiganya dalam tiga pertemuan terakhir menentang Liverpool – selepas barisan pertahanan pelawat gagal mengeluarkan bola berpunca dari sepakan sudut.
Palace kemudian mengganas dan sepatutnya sudah mendahului 4-0 dalam 25 minit pertama, namun Liverpool terselamat hasil rembatan lemah Yeremy Pino serta ketangkasan penjaga gol, Alisson, yang menafikan percubaan Daniel Munoz dan Jean-Philippe Mateta.
Pemain gantian Liverpool, Federico Chiesa, menyamakan kedudukan pada minit ke-87 dan hampir menghadiahkan keputusan seri 1-1 yang dianggap ‘rompakan’ buat The Reds.
Namun, Nketiah melepasi kawalan untuk menewaskan Alisson di penghujung permainan, sebelum jaringan itu disahkan selepas semakan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR), sekali gus melonjakkan Palace ke tangga kedua liga sebagai satu-satunya pasukan yang masih belum tewas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




