Liverpool tunjuk taring di Liga Europa

Liverpool tunjuk taring di Liga Europa

Gakpo (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. – Foto AFP

DUA gol Cody Gakpo melonjakkan Liverpool ke pusingan 16 terakhir Liga Europa selepas menewaskan LASK 4-0, manakala Brighton mara ke pusingan kalah mati dengan kemenangan 1-0 di AEK Athens pada Jumaat.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu mengesahkan tempat teratas Kumpulan E hasil jaringan Gakpo dan gol daripada Luis Diaz dan Mohamed Salah di Anfield.

Keputusan seri 0-0 Toulouse yang berada di tempat kedua menentang Union Saint-Gilloise dalam perlawanan kumpulan lain bermakna Klopp boleh merehatkan pemain untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan pasukannya.

Juara kumpulan Liga Europa mara ke pusingan 16 terakhir secara automatik, manakala naib juara bermain dalam play-off pusingan kalah mati pada Februari menentang pasukan yang menduduki tempat ketiga dalam kumpulan Liga Juara-Juara.