norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Liyana Jasmay, 38, mengaku dia tidak melakukan apa-apa pembedahan pada wajahnya di Korea Selatan sebagaimana untuk memenuhi hasrat yang pernah dikongsikan pada hantaran dimuatnaik di media sosial.
Liyana ditemui berkata, ketika itu dia sekadar ingin membuat eksperimen sosial terhadap pandangan netizen bagi mengetahui sejauh mana tahap kepercayaan mereka terhadap suatu hantaran dibuat serta pendapat masing-masing.
“Hasrat nak buat pembedahan muka itu sebenarnya saya tak buat apa-apa pun. Saya takutlah. Tak tahu akan jadi apa muka saya nanti. Cuma, saya pergi ke Korea Selatan itu untuk dapatkan rawatan kulit wajah sahaja.
“Lagi pula, saya hanya ke sana (Korea Selatan) setahun sekali untuk berjumpa dengan doktor pakar kulit khas saya bagi rawatan seperti skin boosting dan kolagen. Itu sahaja, tak buat pembedahan muka apa-apa pun.
“Cuma kadang-kadang saya suka buat hantaran di media sosial untuk tengok reaksi orang, macam ‘trigger’ sedikit. Jadi, bila saya pernah cakap nak buat pembedahan muka, bermacam-macam reaksi netizen saya terima.
“Itulah yang sebenarnya saya nak tengok. Macam mana reaksi orang bila kita buat suatu hantaran di media sosial. Tapi, saya sendiri pun terkejut bila tengok ramai (netizen) yang percaya,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Liyana, pada era pengaruh media sosial masakini didapati kebanyakan orang sangat mudah percaya terhadap suatu hantaran dibuat oleh sesiapa sahaja tanpa usul periksa serta diterima sepenuhnya.
Terdahulu, Liyana hadir pada majlis sidang media telefilem Fantasi Fiksi arahan Tam Suhaimi yang disiarkan di UTV, semalam.
Ujar ibu dua cahaya mata perempuan ini lagi, dia sendiri memang tidak bercadang langsung atau terfikir pun untuk melakukan pembedahan pada wajahnya kerana bimbang dengan kesan akan dialami nanti.
“Saya perlu ke Korea Selatan untuk menjalani rawatan kulit sahaja. Ini kerana, kaedah digunakan doktor pakar kulit di sana, tidak disediakan oleh klinik di Malaysia. Ditambah, saya juga sudah lakukan penyelidikan terperinci mengenai kaedah berkenaan.
“Selain itu, saya betul-betul memiilih klinik pakar kulit yang selamat dan sesuai. Kebetulan ia terletak di kawasan Gangnam dengan harga agak tinggi juga kerana bertaraf premium serta lokasi di tempat elit.
“Apapun, saya memang tak berani melakukan rawatan kulit di klinik sembarangan. Jadi, saya sanggup buat kajian berbulan-bulan untuk cari doktor pakar yang sesuai kerana nak buat rawatan kulit muka perlu berhati-hati,” katanya.
Ditanya juga mengenai kos rawatan berkenaan, Liyana berkata dia perlu membayar kira-kira RM1,600 dan hanya melakukannya setahun sekali sahaja serta hingga kini baru dua kali dia berkunjung ke klinik itu.
Menerusi hantaran pernah dimuatnaik Liyana dalam InstaStory di Instagram (IG), dia berkongsi hasratnya yang bersedia untuk tampil dengan transformasi baharu pada wajah untuk 2026.
Pada hantaran itu, Liyana memaklumkan dia mahu mancung hidung, buang garisan di leher serta melakukan pembedahan pada bahagian rahang agar raut wajahnya kelihatan lebih cantik dan menawan.
Bagaimanapun, rata-rata netizen melontarkan pandangan bahawa Liyana tidak perlu melakukan apa-apa pembedahan, selain ada juga yang memintanya tidak membuat keputusan terburu-buru kerana wajah masih cantik.
© New Straits Times Press (M) Bhd



