LKIM mahu perkasa nelayan muda

LKIM mahu perkasa nelayan muda

am@hmetro.com.my

Bachok: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mahu memperkasakan golongan muda sebagai nelayan bagi memastikan industri perikanan negara terus diperkukuh.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, setakat ini hanya 30 peratus belia bawah 40 tahun menjadi nelayan daripada jumlah keseluruhan 112,000 nelayan yang berdaftar di bawah LKIM.

Katanya, pemerkasaan nelayan muda termasuk pemberian bantuan perikanan menerusi bank dan agensi antaranya, geran agropreneur muda (scale up), menggalakan mereka terbabit dalam industri akuakultur, pelancongan perikanan dan sebagainya.

“Penggunaan dron dan sebagainya akan meningkatkan minat mereka kepada industri ini.

“Mereka minat tapi kadang-kadang mungkin cara tradisional itu membuatkan mereka kurang berminat, kita modenkan peralatan, memodenkan nelayan marin itu untuk tarik minat mereka (nelayan muda),” katanya ketika ditemui dalam Majlis Rahmah Mesra Madani Pengerusi LKIM bersama Nelayan Kelantan dan Perasmian Portable Container System (PCS) Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) Bachok di Pantai Baru, Melawi, di sini, hari ini.

Faiz berkata, kerajaan berusaha memastikan golongan muda meneruskan legasi keluarga dengan adanya program tekong muda kerana kebanyakan tekong nelayan kini adalah warganegara Thailand.

Dalam majlis itu, seramai lima nelayan muda menerima bantuan peralatan perikanan sebanyak RM250,000 seperti enjin bot.

Penerima, Suhail Mohd Noor, 29 berkata, bantuan enjin bot 150 kuasa kuda dianggap hadiah istimewa sempena anak sulung yang bakal lahir Ogos ini.

Katanya, dengan pemberian enjin itu dapat menambah kekuatan enjin bot yang sebelum ini hanya 115 kuasa kuda dan mampu pergi ke sekitar 40 batu nautika sahaja untuk mencari ikan.

“Dengan enjin bot baru diterima ini, saya jangka hasil ikan dapat meningkat sekali ganda kerana saya boleh memperluaskan pencarian ikan di laut di 30 ke 40 batu nautika lagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top