LLM, jurutera perunding diarah sedia laporan

LLM, jurutera perunding diarah sedia laporan

faris.fuad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan jurutera perunding iaitu Zaidun Leeng Sdn Bhd (ZLSB) diarah menyediakan laporan lengkap berhubung insiden perancah besi Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) runtuh semalam, dalam tempoh seminggu.

Kementerian Kerja Raya berkata, pihaknya akan meneliti laporan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berhubung insiden itu.

Katanya, syarikat konsesi, Projek Lintasan Damansara Shah Alam Sdn Bhd (PLDSASB) turut diminta memberikan bantuan sewajarnya kepada mangsa terbabit insiden itu.

“Kementerian amat kesal dengan insiden perancah besi jatuh di lokasi itu pada jam 7.15 malam menyebabkan dua pekerja warga Bangladesh cedera dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

“Syarikat konsesi diarahkan menghentikan serta-merta kerja membabitkan struktur sementara. Untuk makluman semasa kerja menuang konkrit dijalankan, kawasan pembinaan ditutup sepenuhnya kepada pengguna seperti mana prosedur ditetapkan.

“Sebagai langkah keselamatan, lorong kanan kedua-dua hala di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di kawasan berkenaan turut ditutup sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, kedua-dua mangsa berusia dalam lingkungan 20-an dan 40-an cedera selepas terkena serpihan batu konkrit dan kerangka besi di lokasi kejadian.

PLDSASB dipetik berkata, kemalangan tidak membabitkan orang awam atau pengguna lebuh raya kerana kejadian berlaku dalam kawasan pembinaan bertutup.

Proses kerja perancah itu menggunakan kaedah kejuruteraan sama membabitkan 14 lokasi di kawasan itu dan empat daripadanya disiapkan.

Kejadian perancah besi runtuh itu membabitkan proses pembinaan di lokasi kelima yang sedang giat dilaksanakan.

“Semakan awal LLM menunjukkan reka bentuk perancah teratur dan disahkan jurutera perunding.

“Baki kerja membabitkan sepuluh lokasi hanya boleh diteruskan selepas laporan audit Jurutera Perunding Bebas (ICE) dikeluarkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top